Anggota Geng ‘Rizal Kundang’ Cedera Ditembak Polis Di Desa Coalfields

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki warga tempatan anggota Geng ‘Rizal Kundang’ cedera ditembak polis di Desa Coalfields, dekat sini, malam tadi.

 

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, polis yang sedang melakukan rondaan terlihat sebuah kereta Naza Citra berwarna merah dalam keadaan mencurigakan.

 

“Apabila kami suruh suspek yang berumur 40 tahun itu berhenti kenderaannya, suspek berdegil dan terus memecut laju kereta yang dipandunya sejauh satu kilometer daripada polis.

 

Kami mengejar kereta suspek dan terpaksa melepaskan beberapa das tembakan mengenai tayar sebelah kiri suspek,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, malam tadi.

 

Abdul Aziz berkata sejurus melepaskan tembakan, suspek berhenti dan menurunkan seorang rakannya di tepi jalan dan meneruskan perjalanan sejauh satu kilometer lagi ke Desa Coalfields.

 

Berikutan itu, polis terpaksa mengejar kereta suspek manakala rakan suspek berjaya meloloskan diri di tepi jalan berkenaan.

 

“Polis kejar kereta suspek sehingga ke Desa Coalfields berhampiran dengan sebuah kedai serbaneka dan  melepaskan lima das tembakan yang mengenai bahu kiri suspek.

 

“Tembakan itu menyebabkan suspek tidak dapat mengawal kenderaannya dan berhenti di tepi sebuah kedai serbaneka di lokasi kejadian sebelum ditahan anggota polis,” katanya.

 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek, polis menemui tiga parang dan kuku kambing yang diletakkan di bahagian depan tempat duduk penumpang.

 

“Selain itu, kami turut menemui sebutir peluru dalam beg galas serta peralatan untuk kegiatan samun. Berdasarkan rekod, kereta itu dilaporkan sebagai kenderaan curi.

 

“Hasil siasatan polis mendapati geng itu, dianggotai lima orang termasuk seorang wanita dan lelaki yang melarikan diri dalam kejadian berkenaan dipercayai terbabit dengan kes samun di Kuang, di sini, minggu lepas,” katanya.

 

Abdul Aziz percaya suspek merupakan dalang utama dalam geng berkenaan yang disyaki terbabit dengan kejadian samun membabitkan seorang wanita yang kerugian RM300 dan telefon bimbit.

 

“Polis masih memburu anggota geng itu yang aktif dengan kegiatan samun di sekitar Kuala Selangor, Shah Alam, Petaling Jaya dan Sungai Buloh,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.