Isu Selangor Selesai, Tidak Timbul Kesan Di Sini – Naib Presiden Pas

Tumpat – Kekecohan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang berakhir Sabtu lalu, tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti itu pada PRK Pengkalan Kubor.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu yang dibangkitkan dalam muktamar itu tidak terlalu serius dan dianggap sudah selesai.

“Saya ingat muktamar tiada banyak isu pun, banyak berkisar mengenai dalaman parti dan isu Selangor.

“Malah isu Selangor itu telah selesai pun. Jadi tidak timbul apa-apa kesan di sini,” katanya, semalam.

Menurutnya, perbahasan yang kelihatan agak panas adalah perkara biasa dalam mana-mana muktamar Pas.

“Kita tidak sekat perwakilan nak berucap, nak tegur dan kritik pimpinan. Itu medannya dan Pas adalah terbuka.

“Jadi mereka boleh tanya dan pimpinan jawab, dengan cara itu dapat luahkan apa yang terbuku dalam diri perwakilan dan dijawab oleh pimpinan. Itu positif,” katanya.

Katanya, perbezaan pendapat yang berlaku dalam muktamar bukan tanda perpecahan dalam Pas.

Beliau menegaskan pandangan yang dikeluarkan oleh perwakilan dalam muktamar sebagai satu usaha memperkemaskan parti itu.

“Tiada perpecahan dalam Pas, ia sebagai satu usaha memperkukuhkan parti. Jadi ahli dan pengundi tidak perlu risau mengenai itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.