Exco ‘Pengkhianat’ Bersedia Digugurkan, Biar MB Baru Tentukan

Klang – Bekas Exco Kerajaan Selangor menjelaskan bahawa mereka bersedia sekiranya nama mereka digugurkan daripada senarai Exco di bawah pentadbiran baru.

Dr.Ahmad Yunus Hairi turut menjelaskan bahawa ianya terpulang kepada keputusan Menteri Besar (MB) yang baru iaitu Mohamad Azmin Ali.

“Saya bersedia, biar MB yang baru menentukan siapa yang layak untuk bekerjasama dengan beliau,” ujarnya.

Yunus turut menjelaskan bahawa beliau berharap krisis pentadbiran kerajaan negeri akan selesai dibawah Azmin.

“Pelantikan Azmin sebagai MB pastinya akan menjernihkan suasana. Rakyat tidak mahu lagi pemimpin-pemimpin bertelagah dengan sesiapa lagi,” ujarnya.

Seorang lagi bekas Exco, Sallehen Mukhyi menyatakan bahawa beliau akan gembira jika namanya dilucutkan daripada senarai Exco.

“Saya percaya semua ADUN PAS layak menjadi Exco. Saya juga tidak melihat sebarang masalah jika nama saya dilucutkan daripada senarai Exco,” ujarnya .

Sallehen turut menafikan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggelar empat orang Exco PAS telah menjadi pengkhianat di dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana terus kekal dibawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Keputusan untuk menggantikan Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail juga tidak mendapat konsensus semua parti di dalam PR.

Beliau turut memberitahu bahawa Lim tidak faham Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Sebagai Exco, kami boleh menjalankan tugas kami seperti biasa dengan minima hanya empat orang Exco sehingga MB baru dilantik.

“Tuduhan yang dibuat oleh Lim dipengaruhi unsur politik,” ujarnya.

Sallehen turut menyatakan Lim terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana DAP mempertahankan PKR dalam usaha DAP untuk mengekalkan kuasa di Pulau Pinang dengan mendapat bantuan daripada Ahli Parlimen PKR.

Yunus dan Sallehen menyatakan PAS menerima pelantikan Azmin dan akan memberikan sokongan kepada MB baru yang telah dipilih Sultan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.