KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa agar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Semporna disebabkan kegagalan menyelesaikan isu kebersihan di daerah itu.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ia dilakukan susulan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang memberi amran akan mengeluarkan ‘notis merah’ sekiranya perkara ini tidak diselesaikan.
“Sabah kini dihujani pelancong luar negara Korea dan China dan ada beberapa aduan keracunan makanan, oleh itu kita tampil bagi sedikit penjelasan kerana isu ini telah viral.
“Kita tampil hari ini berkenaan isu sampah di Semporna, meteri MOTAC telah beri satu amaran akan keluarkan notis merah.
“Shafie ini pemimpin yang gagal. Cakap sahaja tapi tidak ada tindakan, kita akan gerakkan satu petisyen untuk Shafie letak jawatan,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, isu yang berlarutan lebih 15 tahun ini memberi kesan negatif kepada ekonomi di negeri Sabah apabila sektor pelancongan juga turut terjejas.
Beliau berkata pihaknya akan segera menghantar surat desakan tersebut kepada Shafie Apdal melalui ibu pejabat WARISAN di Kota Kinabalu.
“Sampah ini agak ‘luar biasa’ dan tidak terkawal di sana. Sebagai orang Sabah kita malu dengan kenyataan menteri itu dengan amaran akan mengeluarkan ‘notis merah’.
“Dia nak urus negeri Sabah, tetapi isu kecil seperti ini di Semporna pun tak boleh buat. Isu ini sudah berlarutan terlalu lama,” katanya.
Sebelum ini Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing telah memuatnaik kenyataan dan gambar di Facebook miliknya berkenaan aduan yang kurang menyenangkan daripada mereka yang berkunjung ke Semporna Sabah.
Kegusaran ini berkenaan persekitaran yang kotor dengan terdapat sampah sarap mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
Tiong berkata pihaknya menerima aduan berkaitan keracunan makanan sehingga pesakit mengalami cirit-birit serta terpaksa dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan terapi intravena (IV) dan perkara ini boleh mengancam kesihatan orang awam termasuk pelancong.
Beliau berkata isu berkenaan turut dipanjangkan kepada Pejabat MOTAC di Sabah serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) untuk tindakan sewajarnya.