Yuna Tampil Elemen Tradisional India Dalam Video Muzik Terbaru

JIKA sebelum ini video muzik Blank Marquee dan Forevermore menjadi bualan dan mendapat tempat di hati para peminatnya, kini penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa, Yuna tampil dengan video muzik terbaharu bagi lagu (Not) The Love Of My Life.

Nampaknya kali ini, penyanyi yang berpangkalan di Los Angeles. Amerika Syarikat itu cuba mengetengahkan elemen tradisional kaum India pula.

Dalam video muzik itu, Yuna turut menyarung persalinan kaum India serta mengenakan barangan kemas tradisional kaum itu dari hujung rambut ke hujung kaki.

Seperti lagu Forevermore, muzik video (Not) The Love Of My Life ini turut menggunakan khidmat koreografer yang sama iaitu Harshini Sukumaran.

“(Not) The Love Of My Life menceritakan kisah seorang pengantin perempuan yang sedang bersiap sedia untuk dinikahkan mempunyai keraguan dalam keputusannya untuk berkahwin.

“Saya kembali ke Malaysia dan mahu bekerjasama lagi dengan rakan karib dan koreografer tradisional India Harshini Sukumaran yang juga pernah bekerjasama dengan saya dalam video muzik Forevermore,” tulis Yuna di ruangan keterangan video muzik itu di YouTube.

Jelas Yuna, dia juga begitu gembira kerana dapat berkolaborasi dengan bakat-bakat lain dan pengusaha perniagaan yang sememangnya terlibat dalam industri perkahwinan India, yang banyak membantunya menonjolkan keindahan dan kecantikan dalam muzik video tersebut.

Tambah Yuna lagi, semua orang di Malaysia memainkan peranan mereka dalam menghormati dan menyayangi budaya masing-masing dan dia merasakan ia sangat unik.

“Saya amat gembira kerana dapat berkongsi apa yang menjadi sebahagian dalam hidup saya kepada seluruh dunia. Saya bukan bintang utama video ini (tetapi) mereka.

“Saya sangat gembira kerana saya mendapat peluang untuk mengarahkan video muzik pertama saya, tetapi ia tidak mungkin dilakukan tanpa perundingan, sokongan, dan yang paling penting sokongan daripada komuniti India di Malaysia,” ujar Yuna lagi.

(Not) The Love Of My Life merupakan salah satu lagu daripada album terbaharu Yuna berjudul Rouge.

Di ruangan komen video muzik itu di YouTube, rata-rata orang ramai meluahkan rasa bangga terhadap Yuna yang sering memaparkan sisi Malaysia dalam setiap karyanya.

Malah ramai diantara mereka berkata mereka telah jatuh cinta dengan video muzik lagu (Not) The Love Of My Life ini.

Yuna yang memberanikan diri meneroka pasaran AS menempa nama di peringkat dunia apabila lagunya dengan Usher berjudul Crush menjadi siulan ramai beberapa tahun lalu.

Selepas itu, penyanyi itu juga turut mendapat perhatian selepas bekerjasama dengan kumpulan terkenal dari Korea Selatan, Epik High serta Jay Park.

Sebelum ini, imej Yuna memakai cucuk sanggul pada kulit hadapan album Rogue juga menjadi bahan perbualan dalam kalangan peminatnya.

Foto penyanyi itu turut tertera dalam papan iklan lampu diod pancaran cahaya (LED) di tengah-tengah kota metropolitan Times Square, New York, Amerika Syarikat dengan memaparkan wajahnya selain mempromosi album terbaharunya, Rouge. – Awani

https://youtu.be/ewt8ZZxdZgw

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.