Penumpang Kecewa Penerbangan Lewat Kerana Masalah Sistem Di KLIA

SEPANG – Kecewa dan penat, itu reaksi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kerana terpaksa menghadapi beberapa kali kelewatan penerbangan disebabkan masalah teknikal dihadapi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sejak malam kelmarin.

Walaupun datang empat jam lebih awal seperti disarankan MAHB, namun mereka tetap perlu menunggu lebih lama berikutan penerbangan ditangguhkan.

Masalah teknikal dipercayai berpunca daripada pelayan komputer KLIA yang menyebabkan kemudahan WiFi, paparan maklumat penerbangan balai pelepasan serta kaunter daftar masuk bagasi terganggu.

Sehingga jam 10 malam tadi, MAHB memaklumkan 68 penerbangan terpaksa ditangguh disebabkan masalah teknikal berkenaan.

Penumpang, Fatin Afiqah Zaimi, 25, berkata beliau tiba di KLIA empat jam sebelum waktu pelepasan seperti disarankan MAHB dan sepatutnya menaiki pesawat pada jam 8 pagi semalam ke Manila, Filipina.

Bagaimanapun, katanya, beliau menerima e-mel daripada syarikat penerbangan berkenaan menyatakan penerbangannya ke Manila terpaksa ditangguh pada jam 11 pagi.

“Sudah lima jam saya menunggu, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklumat berkaitan penerbangan berkenaan.

“Sejak semalam, saya mengikuti segala maklumat disebarkan melalui media sosial MAHB yang menyatakan masalah akan selesai pagi ini, namun ternyata keadaan masih sama.

“Saya kecewa kerana perlu menunggu lama dan percutian yang sepatutnya gembira bersama rakan, menjadi begini akhirnya,” katanya ketika ditemui di KLIA, di sini, hari ini.

Seorang lagi penumpang, Aiman Amran, 29, berkata beliau bersama 20 ahli keluarganya sepatutnya berlepas ke Bandung dengan penerbangan dijadualkan pada jam 12 tengah hari tadi.

“Saya tiba pada jam 8 pagi tadi sebelum dimaklumkan penerbangan terpaksa ditangguhkan pada jam 3 petang. Saya kemudian mendapat satu lagi maklumat memaklumkan penerbangan itu juga terpaksa ditangguhkan kali kedua pada jam 4 petang.

“Hal ini mengganggu perjalanan yang sudah saya susun ketika di Bandung kerana mengikut jadual, setibanya kami di sana, akan dibawa ke beberapa tempat lawatan.

“Jika pada jam 4 petang berlepas, sudah tentu banyak aktiviti dirancang tergendala, sekali gus menjejaskan mood kami untuk bercuti,” katanya.

Sementara itu, MAHB setakat ini belum memberi maklum balas secara berkala perkembangan pembaikan masalah teknikal dihadapi mereka. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.