Proton Yakin Kekal Prestasi Jualan Walaupun Harga Kereta Meningkat Selepas SST Dikuatkuasakan

PETALING JAYA – Proton Edar Sdn Bhd, cabang pengedaran pengeluar automotif tempatan, Proton Holdings Bhd, yakin dapat mengekalkan prestasi jualan kukuhnya selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 Sept.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Rashid Musa berkata permintaan dijangka berterusan walaupun selepas SST dikuatkuasakan kerana kereta itu kini dianggap sebagai satu keperluan.

“Keperluan bagi kereta di Malaysia masih ada dan orang akan terus membelinya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran pusat Proton 3S, di sini, hari ini, oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong.

Bagaimanapun, Abdul Rashid berkata harga kereta akan meningkat selepas SST kerana cukai perkhidmatan itu ditetapkan pada 10% berbanding cukai barang dan perkhidmatan pada 6%.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan kuantiti jualan dan menarik pelanggan membeli kereta,” katanya.

Sementara itu, Li berkata Proton akan mula menerima tempahan bagi kenderaan utiliti sukan pertamanya bulan depan.

Mengenai jualan pada Julai, Abdul Rashid berkata Proton menjual sebanyak 8,102 unit, prestasi terbaiknya dalam tempoh 30 bulan.

Beliau berkata selain daripada GST berkadar sifar yang menyumbang kepada kenaikan jualan itu, pasaran juga menerima dengan positif jenama Proton menerusi usaha meningkatkan kedudukannya dalam pasaran.

“Kami telah melakukan banyak perkara untuk menambah baik vendor dan pengedar kami,” katanya, sambil menambah Proton juga menaik taraf 96 daripada 109 pusat pengedarannya menjadi pusat 3s dan 4s. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.