Harga Minyak Global Turun

SINGAPURA – Harga minyak susut hari ini, ditarik turun pertelingkahan perdagangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China, sungguhpun penyusutan inventori minyak komersial AS menawarkan sedikit sokongan.

Penanda aras antarabangsa Brent berada pada AS74.54 satu tong pada 0647 GMT, turun 24 cent, atau 0.3 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Dagangan hadapan West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$67.80 satu tong, susut enam cent daripada penutup sebelumnya, disokong sebahagiannya oleh penyusutan dalam inventori minyak mentah AS.

Pasaran antarabangsa lebih lemah berikutan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak antara AS dan China yang dilihat melembapkan pertumbuhan ekonomi.

AS dan China terus mengambil tindakan yang memburukkan lagi keadaan hari ini dengan mengenakan 25 peratus tarif ke atas barangan bernilai AS$16 bilion.

Dalam perkembangan berkaitan, inventori minyak mentah komersial AS susut sebanyak 5.8 juta tong dalam minggu berakhir 17 Ogos kepada 408.36 juta tong, demikian menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).

Sementara itu, pengeluaran minyak mentah AS kembali menokok kepada 11 juta tong sehari, kata EIA.

Ini bermakna tiga pengeluar utama dunia, Russia, AS dan Arab Saudi, sekarang mengeluarkan sekitar 11 juta tong sehari, memenuhi sepertiga permintaan global. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.