Sekolah Hasilkan Jalur Gemilang Gergasi

JALUR Gemilang bersaiz 22 meter panjang dan lapan meter lebar menjadi kebanggaan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, Segamat apabila dianggap bendera terbesar yang pernah dihasilkan di daerah ini.

Bendera gergasi itu mengambil masa dua bulan untuk disiapkan secara gotong-royong membabitkan kerjasama pelajar, guru, kakitangan pentadbiran dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pengetuanya, Md Shah Hashim berkata, semua 1,100 pelajar serta 80 kakitangan sekolah berkenaan terbabit dalam menyiapkan bendera gergasi itu secara bergilir-gilir.

“Semua pelajar dan kakitangan sekolah termasuk guru terbabit menjahit bendera ini secara bergilir-gilir sejak dua bulan lalu dan ia dilakukan tanpa menganggu waktu pembelajaran.

“Berdasarkan pemerhatian kami, Jalur Gemilang ini dianggap yang terbesar pernah dihasilkan di daerah ini dan ia boleh dilihat dari jarak satu kilometer apabila digantung di bangunan sekolah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Md Shah, objektif penghasilan bendera gergasi itu adalah sebagai salah satu cara warga SMK Bandar Putra, Segamat menterjemahkan semangat patriotik sekali gus menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan dan kempen kibarkan Jalur Gemilang. -Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.