Pemuda PAS Nasihat PH Tinggal Budaya Putar Belit dan Fitnah

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) dinasihat agar meninggalkan budaya politik Machiavelli yang mengamalkan putar belit, adu domba, manipulasi, kontroversi, sensasi, fitnah dan segala rekaan bersifat matlamat menghalalkan cara.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Hj Khairil Nizam Khirudin, sikap sedemikian yang diamalkan Pemuda PH ketika ini adalah wajah politik golongan berkepentingan, rakus, terdesak, hipokrit, bongkak serta bankrap idealisme.

Sedangkan ujar beliau anak muda seharusnya dan sebagaimana juga sejarah terukir pada seluruh tamadun, adalah golongan yang teguh berpegang kepada prinsip dan semangat perjuangannya.

Katanya lagi, anak muda adalah peneraju dan penggerak kebangkitan massa paling gigih serta ‘tiang’ kepada negaranya hingga menjadi rebutan atau sasaran banyak pihak.

Kenyataan bersama Pemuda PH mempertikai tulisan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Politik Islam dan Perkauman’ katanya jelas menunjukkan ia telah dibaca secara emosi dan melulu hingga menerbitkan salah faham.

“Mereka menyanggah dengan tuduhan kononnya artikel itu berbaur perkauman, sedangkan ia menginterpretasikan suatu perspektif.

“Kita terbuka untuk sesiapa jua mahu mengkritik atau mewacanakannya, tetapi mestilah dengan paksi dan kaedah perbicaraan yang benar lagi sihat. Bukannya menghambur unsur-unsur tipikal yang tidak matang, tidak berfokus dan dilihat bebal. Kawal keghairahan dalam berhujah dan tidak perlu melalut untuk mencetuskan ketegangan lain.

“Terpulang kepada Pemuda PH untuk menyatakan sudut pandang mereka, tetapi tidak perlu rosakkan perbicaraan dilontarkan Presiden PAS melalui tulisan itu dengan naratif yang sengaja disalah ertikan. Juga tidak perlu membuat tuduhan fitnah dan mengheret kepada unsur untuk membibitkan ketidakharmonian dan ancaman kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, artikel tulisan Abdul Hadi itu hakikatnya menyingkap fitrah dan kecenderungan berkait kepimpinan, tanggungjawab teras dan jaminan keadilan, serta peranannya dalam kemajmukan kaum selain mengemukakan realiti Malaysia dan cabaran sedang berlaku untuk dipertimbangkan agar tidak menuju kepada situasi yang menggugat kewajaran dan asasnya.

“Sebenarnya, Pemuda PH yang bersentimen dan menjadikan kenyataan bersama itu sebagai satu bentuk serangan dangkal dengan menafi atau menutup segala konsistensi PAS dalam menentang korupsi.

“Malah, menganggap pendekatan dibawa PAS sekadar slogan retorik yang dijadikan permainan politik dan perangkap tertentu.

“Jelas ada skeptikal dan paranoid hingga dipalit pula PAS seperti membela Umno serta memperburukkan pentadbiran PAS Kelantan.

“Jika begitu ada baiknya kalian melihat dan membandingkan dulu rekod integriti sembilan tahun pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dibanggakan itu sebelum sibuk menuding jari dan perasan suci diri,” katanya. – KLXpress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.