PAS Belum Terima Permohonan Parti Bersatu Untuk Berunding

KOTA BHARU – PAS belum menerima permohonan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia bagi menjalin kerjasama untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata PAS sehubungan itu tidak boleh memberi reaksi terhadap cadangan Parti Pribumi untuk berunding mengenai pembahagian kerusi pada PRU-14.

 

Malah, katanya, PAS sehingga kini belum berbincang dari segi pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dengan sekutunya PKR.

 

“Kalau ada permohonan daripada Parti Pribumi untuk mengadakan perbincangan, PAS di peringkat Jawatankuasa Pusat akan bincang dulu, patut atau tidak (sebelum memutuskan setuju untuk berbincang).

 

“Setakat ini, permohonan hanya dalam akhbar. Bagaimana kita nak jawab sebab tak ada permintaan rasmi daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Balai Islam Lundang yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media sosial semalam mengenai hasrat Jawatankuasa Penaja Parti Pribumi itu untuk berunding dengan PAS dan PKR mengenai pembahagian kerusi pada PRU-14.

 

Bagaimanapun, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, pintu rundingan untuk dua parti pembangkang iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) sudah ditutup.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.