Wan Azizah Dakwa Isu Wanita Tak Boleh Dilantik Sebagai Pemimpin, Hanya Alasan

Shah Alam – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini membayangkan beliau layak menjadi Menteri Besar baru Selangor dan menegaskan soal jantina tidak patut menjadi isu dalam mencorakkan sebarang kepimpinan.

“Dalam memilih pemimpin, kita harus jelas akan kriteria yang patut kita guna pakai biarpun di peringkat parti, negeri mahupun negara,” kata presiden PKR itu.

“Sudah tentu kelayakan, kesungguhan, wibawa dan amanah sepatutnya menjadi kriteria utama. Jantina, umur dan rupa-paras hanyalah alasan semata (untuk menafikan calon),” tambah beliau ketika merasmikan Konvesyen Nasional PKR di sini.

 

 

Pencalonan Azizah cetus krisis politik paling serius

PKR mencalonkan Wan Azizah untuk jawatan menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sekali gus mencetuskan krisis politik paling serius dalam parti itu dan Pakatan Rakyat sendiri.

Pencalonan tunggal presiden PKR itu didokong oleh DAP tetapi dibantah oleh PAS yang mahukan timbalan Azizah, Azmin Ali turut dicalonkan.

Meskipun Azmin menolak pencalonan itu, pemimpin PAS dilaporkan tetap bertegas Azizah tidak boleh dijadikan calon tunggal untuk jawatan itu.

Polimik itu meniupkan spekulasi PAS menolak Wan Azizah kerana beliau wanita.

Kebolehan Presiden PKR dipersoal

Bagaimanapun pemimpin parti itu menolak dakwaan itu, sebaliknya menuding jari kepada kebolehan presiden PKR itu sebagai pemimpin.

Rekod Wan Azizah dalam menerajui PKR sejak 2009 menjadikan ramai pihak mempersoalkan kemampuan beliau untuk mengemudi Selangor negeri paling maju di Malaysia.

Di bawah pimpinannya PKR dilihat melompat daripada satu krisis kepada krisis lebih besar dengan beberapa pemimpin kanan dan wakil rakyat dipecat atau bertindak meninggalkan parti itu.

Wan Azizah turut dilihat sebagai presiden parti di bawah telunjuk suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang.

Khalid masih menjadi Menteri Besar Selangor sehingga Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membuat keputusan bersabit pencalonan Wan Azizah.

Baginda dijangka kembali ke tanah air hari ini dan berjumpa dengan Khalid Isnin depan.

Meskipun tidak menyentuh krisis kepimpinan Selangor secara langsung dalam ucapannya itu, Wan Azizah berkata negeri itu memerlukan penambahbaikan dalam beberapa bidang.

Beliau merujuk kepada isu penyenggaran jalan, masalah kutipan sampah serta program sosio ekonomi untuk rakyat.

“Kita akui kerajaan Selangor mempunyai dana dan program-program yang membantu merakyatkan ekonomi yang sepatutnya diteruskan.

“Sungguhpun kita berbangga dengan pencapaian ini, kita jua harus prihatin bahawa isu-isu rakyat perlu diutamakan, sampah, jalan yang melibatkan peruntukan MARRIS yang tidak dibelanjakan,” kata beliau.

Beliau berkata masalah kebersihan di Selangor menyumbang kepada negeri itu mencatat peningkatan kes denggi sehingga 338 peratus iaitu 29972 kes, yang paling tinggi dalam negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.