Video: Azizah Nafi, PKR Anjur Kempen Burukkan Khalid

Kuala Lumpur – Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menafikan dakwaan bahawa parti itu menjalankan kempen jelajah seluruh Selangor untuk memburuk-burukkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Saya sebenarnya tidak mahu terlibat dengan apa yang orang sebut sebagai kempen memburuk-burukkan ini. Saya rasa ia cuma satu kempen penjelasan, menjelaskan sebab kita perlu mengambil keputusan yang menyakitkan ini.

“Saya rasa rakyat dan pengundi wajar diberikan maklumat ini. Saya tak mahu memanggilnya sebagai kempen memburuk-burukkan, ia bukan begitu.

“Ia bersifat fakta. Kami mahu bentangkan fakta. Kempen memburukkan nama adalah perkara yang dilakukan BN selama ini,” katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

Beliau juga menyifatkan Khalid sebagai rakan kepada keluarganya, namun “manusia berubah apabila mendapat kuasa”.

“Saya tak tahulah..mungkin apabila kita memegang kuasa, kita berubah,” katanya.

Wan Azizah turut menjelaskan beliau dan Anwar selama ini telah menjadi mangsa fitnah dan mempertahankan kempen tersebut sebagai mempunyai asas yang tidak salah untuk dilakukan.

“Saya, Rafizi dan Anwar selama ini telah menjadi mangsa fitnah dan sekarang kami pastinya tak mahu berbuat demikian. Saya rasa ia (kempen) itu secara asasnya adalah langkah politik tetapi ia mempunyai asas.

“Kami terpaksa melakukannya (kerana) akhirnya apabila sejarah disingkap semula, apabila berlaku sesuatu yang salah, kami tidak hanya duduk diam. Kami lakukan sesuatu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.