TPM Puas Hati, Pengebumian Mangsa MH17 Berjalan Lancar

Pagoh  – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa puas hati terhadap kelancaran proses ketibaan sehinggalah pengebumian jenazah mangsa-mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17, yang dibawa pulang dari Amsterdam.

Timbalan perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh menghadiri pengebumian anak tempatan Pagoh, seorang daripada penumpang mangsa tragedi itu, Mohd Ali Mohd Salim, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja di sini.

Beliau menyatakan rasa puas hati terhadap kelicinan proses pengebumian dan persemadian jenazah mangsa MH17 di beberapa tempat lain di seluruh negara.

“Alhamdulillah, upacara pengebumian jenazah Allahyarham telah selesai dan saya juga mendapat maklumat tempat-tempat lain juga berjalan lancar dengan cuaca yang baik, walaupun ia amat menyedihkan tetapi saya lihat waris allahyarham tabah dan menerimanya sebagai ujian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pengebumian Allahyarham Mohd Ali yang dihadiri ribuan penduduk tempatan, yang turut berkongsi kesedihan dengan pemergian beliau.

Mohd Ali, 30, merupakan pelajar kedoktoran di Erasmus Universitiy, Belanda dan dalam penerbangan pulang ke Malaysia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri apabila pesawat MH17 itu terhempas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Sebelum itu, Muhyiddin turut bersama ribuan penduduk tempatan bersembahyang jenazah di Masjid Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh dan di kediaman keluarga Mohd Ali di Kampung Jayor, di sini.

Menurut Muhyiddin, Hari Perkabungan Negara yang diisytihar sebagai penghormatan kepada mangsa tragedi dan 20 jenazah kumpulan pertama dibawa pulang, memberikan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia seluruh negara yang dapat merasakan peristiwa hari ini amat bermakna dan telah menyatupadukan mereka dalam kesedihan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.