PKR Gantung Keahlian Kumpulan Pro-Khalid

Petaling Jaya – PKR memberi surat tunjuk sebab kepada empat anggotanya yang didakwa terlibat bersama kumpulan pro-Khalid yang mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dalam satu sidang media Rabu lalu.

Lembaga Disiplin PKR juga memutuskan keanggotaan mereka digantung serta merta sehingga siasatan selesai ekoran didakwa terlibat bersama Persatuan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (PASMEB) dan NGO lain dalam sidang media itu.

Mereka ialah Dr Wan Suhaimi Wan Daud dari cabang Pasir Mas, Nasaruddin Mohamad (Cabang Sepang), Abdul Rahim Abdul Wahab (Cabang Selayang) dan Rosmah Suly dari cabang Batu.

“Anggota-anggota ini akan diberi surat tunjuk sebab dan digantung keanggotaan serta-merta sehingga siasatan selesai,” kata Datuk Dr Tan Kee Kwong dalam kenyataannya hari ini.

Pada Rabu lalu, sekumpulan 12 NGO termasuk PASMEB melancarkan gerakan mempertahankan pentadbiran Khalid sehingga penggal berakhir dan mengutuk tindakan Pakatan Rakyat yang didakwa menjadi punca krisis, kekecohan dan ketidaktenteraman politik di negeri itu.

Dalam kenyataan itu juga, Tan turut mengumumkan pemecatan Ketua AMK Kuantan Cabang Aidil Haryan Mat Nor kerana secara terbuka memaparkan gambar beliau membakar bendera parti melalui laman sosial Facebook.

Tan yang juga MP Wangsa Maju berkata tindakan Aidil itu memberi implikasi buruk kepada imej dan kredibiliti parti kepada masyarakat umum.

“Beliau turut mengakui tindakan membakar bendera parti dan mencabar agar beliau dipecat dari parti,” katanya sambil menambah keputusan itu telah dipersetujui Majlis Pimpinan Pusat yang bermsyuarat semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.