Penembak MH17 Harus Bertanggungjawab, Diheret Kemuka Pengadilan

Kuala Lumpur –  Sebilangan rakyat Malaysia dan pelawat asing berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 dapat segera diheret ke muka pengadilan.

Inilah harapan yang disampaikan oleh mereka yang berhimpun di Dataran Merdeka dan sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad pada hari ini bagi menyertai warga Malaysia di seluruh negara untuk bersama-sama berkongsi kehibaan pada Hari Perkabungan Negara, Jumaat.

Seorang pesara yang ditemui, Yurni Salleh, 56, berkata beliau dapat merasakan keperitan yang ditanggung anggota keluarga yang kehilangan orang yang disayangi dalam tragedi MH17 itu.

“Justeru, pasti mereka dan saya sendiri mahu melihat pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah ke atas pesawat MH17 didakwa dan mendapat hukuman setimpal,” katanya dalam linangan air mata kerana tidak dapat menahan sebak mengenangkan peristiwa itu.

Bagi ahli perniagaan Faizal Ramli, 38, dari Pulau Pinang, jarak bukanlah penghalang untuk beliau, isteri dan dua anaknya untuk turut berhimpun bersama ribuan orang lain di Dataran Merdeka, bagi memberikan penghormatan kepada jenazah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa nahas MH17.

“Saya tidak mengenali mereka, namun saya dan isteri amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka.

“Saya sekeluarga berharap agar si pelaku (penembak) itu dapat ditangkap dan didakwa bagi mendapatkan keadilan buat keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu, pelawat dari Belgium Evelyn Hemeryck, 32, bersama suami dan tiga anak mereka yang berusia antara 10 bulan dan enam tahun, adalah antara yang turut berhimpunan di Dataran Merdeka.

“Kami ke sini kerana sebilangan penumpang MH17 merupakan warganegara Belgium. Kami mendapat tahu melalui surat khabar. Secara kebetulan, kami sedang bercuti di sini selama 16 hari, jadi kami singgah untuk memberi penghormatan,” katanya.

Suaminya, Johan Maeck, 41, pula berharap agar pihak yang menjalankan siasatan terhadap kes MH17 dapat membuktikan adanya perlakuan jenayah terhadap pesawat itu dan didakwa di mahkamah.

Camilla Pedersen, 43, pelancong dari Afrika Selatan turut melahirkan rasa kagum dengan kerajaan Malaysia yang mengadakan istiadat penghormatan yang begitu rapi terhadap jenazah mangsa nahas MH17 itu.

“Ia sangat mengagumkan apabila kerajaan bertungkus lumus mengadakan istiadat penghormatan kepada mangsa nahas tragedi pesawat MH17.

“Meskipun saya bukan rakyat Malaysia, hari bersejarah ini turut memberi impak kepada saya dan keluarga. Saya berharap siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya Pederson ibu kepada bayi perempuan berusia setahun setengah yang dibawa bersama ke Dataran Merdeka, pagi Jumaat.

Seluruh negara hari ini berkabung sebagai tanda menghormati ketibaan kumpulan pertama jenazah mangsa MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai lalu.

Istiadat penghormatan untuk 20 jenazah mangsa tragedi MH17 itu berlangsung di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang sebaik pesawat khas yang membawa keranda mereka tiba dari Amsterdam pagi Jumaat.

Seluruh negara bertafakur selama seminit pada jam 10.54 pagi, sejurus kesemua keranda jenazah itu dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah di lapangan terbang itu.

Semua kenderaan itu kemudian dibawa melintas di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, barisan anggota kabinet dan diplomat asing serta para waris mangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.