Jenazah ADUN Pengkalan Kubor Selamat Dikebumi

Jenazah ADUN Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan di Tumpat malam tadi.

Allahyarham Noor Zahidi, 57, meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China pada 5.45 pagi, Rabu lepas.

Jenazah Noor Zahidi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Guangzhou sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Subang untuk berlepas ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Kira-kira 500 orang menyambut ketibaan jenazah termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub dan Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya’kub.

Jenazah dibawa ke kediaman Allahyarham di Kampung Surau Pasir Pekan di Tumpat untuk disembahyangkan sebelum dikebumi pada kira-kira 11.50 malam.

Allahyarham merupakan ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.