Ibu Blogger Seks, Tidak Tahu Lokasi Alvin Dakwa Gagal Hubungi Anaknya

Kuala Lumpur – Ibu kepada blogger seks Alvin Tan yang menghadapi pertuduhan menghina Islam dan bulan Ramadan tahun lalu mendakwa bukan sahaja tidak mengetahui lokasinya, malah gagal untuk menghubungi anak lelakinya itu.

All Kim Lian berkata di mahkamah semalam semasa perbicaraan kes blogger berkenaan apabila menyatakan tidak mengetahui bagaimana mencari Tan setelah tertuduh gagal untuk menghadirkan diri menyerahkan pasport.

Wanita itu juga berkata meskipun ada meninggalkan mesej di sistem pesanan ringkas (SMS) kepada anak lelakinya itu, namun tiada jawapan diterima.

“Saya merinduinya. Saya menunggu kepulangannya tetapi saya tidak tahu lokasi dia. Saya sudah tua dan tidak tahu banyak perkara,” katanya seperti dilaporkan Mstar Online.

Ibu Tan juga meminta mahkamah agar tidak merampas wang jaminan blogger seks tersebut.

Tan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin iaitu sepupu, Loo Ching Ching, 44, dan ibunya berusia 57 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee memohon mahkamah melucutkan hak jaminan terhadap Tan secara keseluruhan memandangkan kedua-dua penjamin gagal memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah sebanyak dua kali dan menyerahkan jaminan itu kepada kerajaan atau Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu selepas mendapati dua individu yang menjadi penjamin Tan dalam kes itu gagal memenuhi tanggungjawab mereka dalam memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Selepas mendengar penjelasan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan… bagaimanapun, mahkamah bersetuju untuk hanya melucutkan RM20,000 daripada RM30,000,” katanya.

Pada 13 Jun lepas, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap blogger itu kerana gagal hadir untuk mengembalikan semula pasport antarabangsanya yang sebelum ini diberikan bagi tujuan melakukan penggambaran di Singapura.

Blogger berusia 26 tahun itu juga gagal hadir ke mahkamah ketika kesnya disebut pada 18 Julai.

Alvin dan teman wanitanya, Vivian Lee atau Lee May Ling, 25, didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook ‘Alvin and Vivian-Alvivi’ yang mencetuskan kemarahan umat Islam mengikut Akta Hasutan 1948.

Dalam laman Facebooknya itu Tan memuat naik gambar dirinya bersama teman wanitanya dengan komen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh… wangi, enak, menyelerakan!)’ yang mengandungi logo halal.

Tan juga berdepan dengan tuduhan mempamer gambar lucah di http://alviswingers. tumblr.com mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.