Dewan Muslimat Tuntut PKR Pulangkan Semula Kerusi DUN Pengkalan Kubor

Kota Bahru – Dewan Muslimat Pas meminta kerusi Dun Pengkalan Kubor, Tumpat pada PRK nanti diserahkan kembali kepada Pas setelah diwakili PKR sejak dua penggal lalu.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini mungkin sudah tiba masanya corak politik di Dun Pengkalan Kubor diberikan nafas baharu.

Menurut Siti Zailah, pihaknya yakin kebijaksanaan kepimpinan yang ada boleh mempertimbangkan dengan menilai sejarah lalu untuk memberi laluan kepada Pas biarpun calon mana-mana parti belum ditentukan lagi.

“Setelah beberapa penggal sebelum ini kita telah memberi laluan kepada PKR untuk bertanding tetapi tidak diberi kemenangan. Bermakna rakyat perlukan selera baharu.

“Pas perlu mengisi tempat itu (Dun Pengkalan Kubor) kerana paling penting adalah untuk mencapai kemenangan dan saya berharap perkara ini dipertimbangkan pihak atasan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Muktamar Dewan Muslimat Pas Kelantan Ke-41 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama, Timbalan Ketua Muslimat Pas Kelantan, Wan Ubaidah Omar.

Mengulas mengenai calon yang sesuai daripada Muslimat, beliau yang juga Ketua Muslimat Pas Kelantan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

“Kita belum lagi menentukan siapa calonnya. Masih awal untuk ulas, tidak kira daripada Muslimat atau Muslimin saya yakin Pas mempunyai ramai individu yang berkelayakan,” katanya.

Kerusi Dun Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser Rabu lalu.

Siti Zailah juga mengakui PRK Dun Pengkalan Kubor kali ini adalah satu cabaran yang baharu memandangkan ia berada dalam kawasan menteri besar.

Pengkalan Kubor terletak di bawah Parlimen Tumpat yang mempunyai lima Dun di bawahnya. Empat daripada Dun berkenaan dimenangi oleh Pas pada PRU13.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.