Ambil Iktibar Daripada Tragedi MH17

Pekan – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pihak perlu mengambil ikhtibar dan pengajaran daripada hikmah yang tersembunyi dalam kejadian yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan MH370.

Perdana Menteri berkata, di sebalik kesedihan dan hiba yang dikongsi bersama oleh semua rakyat, perlu juga melihat apa hikmah yang Tuhan telah tentukan di sebalik tragedi ini.

“Kita kena tambah keimanan, ketakwaan dan memohon doa kepada Allah. Tetapi sebelum itu kita juga mesti berikhtiar serta berusaha kerana perkara itu dituntut oleh Allah.

“Bukanlah buat kenyataan yang lantang tetapi tiada hasil. Apa guna buat kenyataan yang lantang tetapi tiada hasil. Biar kita tidak keluarkan kenyataan tetapi hasilnya besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau bagi peringkat Parlimen Pekan di sini hari ini.

Najib turut melahirkan rasa bangga melihat rakyat negara ini yang mampu bersatu sebagai sebuah negara bangsa walaupun berada dalam keadaan kehibaan mengenangkan tragedi yang menimpa pesawat dan penumpang MH17 dan MH370.

Mengulas mengenai majlis istiadat menghormati mangsa tragedi MH17 yang berlangsung semalam, Najib berkata, ia merupakan satu signifikan yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara kerana walaupun ditimpa musibah dan dugaan, jika semua bersatu membulatkan tekad, tiada apa yang tidak boleh ditempuh dan diatasi.

“Kalau kita merapatkan barisan, bersatu hati dan membulatkan tekad tiada apa yang boleh ditempuhi, jika kita berdiri atas prinsip kebenaran orang akan menghormati kita walaupun kita (Malaysia) bukan kuasa besar,” katanya.

Najib turut bertafakur bersama orang ramai bagi memperingati penumpang dan anak kapal pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Dianggarkan hampir 50,000 orang tetamu menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada sambutan pada tahun ini, sebanyak 149 gerai makanan dan minuman sekitar Pekan menyediakan pelbagai juadah raya termasuk makanan tempatan seperti nasi minyak, opor daging, puding raja, laksa Pahang, kuih-muih tradisional, nasi beriani, cendol dan ketupat palas.

Walaupun negara masih dalam suasana berkabung berikutan tragedi pesawat MH17, sambutan tetap dilaksanakan secara sederhana demi memenuhi hasrat rakyat di Parlimen Pekan untuk beraya bersama anggota parlimen mereka.

Sebanyak 149 gerai yang menghidangkan pelbagai juadah antaranya nasi briyani, daging opor, lemang, nasi dagang, nasi kebuli, kambing bakar, sate dan ketupat disediakan.

Najib turut menyampaikan sumbangan kepada bakal haji dan duit raya kepada kanak-kanak.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Pekan itu bermula sejak jam 10 pagi sehingga jam 3 petang tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.