Dana syarikat arak untuk sekolah, Anthony Loke akan perjelas kepada Kabinet

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Isu pemberian sumbangan dan tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pembabitan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

“Syarikat minuman keras telah menganjurkan program mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina berlaku sejak 30 tahun lalu dan saya juga pernah menghadiri majlis itu.

“Selama ini tidak timbul sebarang masalah, kenapa sekarang baharu nak jadikan isu? Ini sesuatu yang mesti kita faham bahawa ini bukan perkara baharu.

“Namun begitu, saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet esok dan saya akan berikan penjelasan kepada Jemaah Menteri,” katanya kepada media selepas merasmikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Permotoran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di Negeri Sembilan pada Selasa, lapor BH.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Sepang yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu melahirkan rasa kesal susulan dikatakan usaha membangunkan pendidikan di Parlimen itu ‘tenggelam’ selepas tular gambar pembabitan sebuah syarikat minuman keras yang hadir sebagai antara penyumbang.

Aiman Athirah memenuhi undangan daripada Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Sepang bagi menghadiri Konsert Amal Pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lalu.

Program itu dirasmikan EXCO Selangor, Ng Suee Lim dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, program berkenaan juga biasanya akan diadakan di luar sekolah seperti di restoran dan sebagainya yang bertujuan untuk mengutip dana bagi pembangunan sekolah.

“Dalam kalangan masyarakat Cina khususnya memang ada penganjuran program sumbangan oleh syarikat korporat minuman keras untuk anjurkan pelbagai aktiviti di sekolah,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat