UMK Laksana Kajian Saintifik Kesan Jin dan Makhluk Halus

KOTA BHARU – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang melaksanakan kajian saintifik bagi mengesan makhluk halus atau jin di dalam badan manusia menggunakan peralatan elektronik yang dikatakan mampu mengesan aura itu.

Kajian bagi mengesan jin terutama saka dilaksanakan tujuh pengkaji daripada UMK, diketuai Prof Madya Dr Yohan Kur Niawan sejak dua tahun lalu.

Yohan yang berasal daripada Indonesia, berkata kajian itu dibuat menggunakan sebuah peralatan elektronik bagi mengesan aura dalam badan manusia yang dibeli di Amerika Syarikat berharga kira-kira RM15,000.

Beliau berkata, seramai 10 responden yang diakui mempunyai saka diuji menggunakan peralatan elektronik terbabit bagi mengesan perubahan elektrik dalam badan sebaik mereka menerima rawatan Islam seperti diperdengarkan bacaan surah al-Fatihah, Ruqyah serta muzik tradisional.

“Alat ini adalah satu kaedah secara saintifik bagi membuktikan kewujudan jin dalam badan manusia melalui perubahan elektrik memandangkan makhluk itu dicipta daripada api berdasarkan al-Quran.

“Badan manusia mempunyai tujuh aura bermula daripada kepala hingga kaki. Setiap aura itu mempunyai tenaga elektrik berbeza yang dikesan melalui peralatan terbabit.

“Berdasarkan kajian, terdapat tiga aura yang sering dipengaruhi kehadiran jin iaitu di kepala, leher dan dada. Jika satu daripada tiga aura ini mejadi merah berdasarkan perisian yang disambungkan daripada peralatan elektronik kepada komputer, kemungkinan wujudnya jin ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, aura berwarna merah tidak semestinya membuktikan kewujudan jin memandangkan tenaga elektrik dalam badan sentiasa berubah jika seseorang itu dalam keadaan tekanan, letih, marah atau sedih.

“Pada mulanya, responden akan dibiarkan tenang beberapa minit sebelum tangannya diletak pada peralatan terbabit bagi mengesan arus elektrik dalam badan.

“Ujian ini akan dilakukan beberapa kali dan jika aura merah konsisten keluar setiap kali responden didengarkan bacaan al-Fatihah, Ruqyah atau muzik tradisional, kemungkinan besar jin ini wujud pada pesakit terbabit,” katanya yang menjalankan kajian itu dibawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, Yohan berkata, kajian itu masih di peringkat awal dan ketepatannya antara 80 hingga 90 peratus.

Oleh itu, katanya, kajian terbabit masih memerlukan kira-kira dua tahun lagi untuk disiapkan bagi mengumpul data mengenai penafasan, gelombang elektromegnetik serta denyutan nadi terhadap responden yang terbabit.

“Kajian ini diharap menjadi penyumbang kepada perubatan alternatif terhadap pesakit yang mempunyai gangguan serta penyakit misteri. Ini kerana, ada orang dakwa sakit itu daripada jin, tapi sebenarnya tidak, malah ada juga sakit yang menyebabkan pelakuan pelik tiada kaitan dengan jin.

“Justeru, kita mahu membantu dari segi ketepatan maklumat sebelum rawatan dijalankan bagi menghidari kes kekhilafan dalam merawat.

“Tambahan pula, kajian seperti ini masih kurang dijalankan, malah pengkaji dari Barat menyatakan jin tidak wujud dan semuanya berlaku disebabkan `ilusi low frequency’ yang mempengaruhi otak,” katanya yang mahu membuktikan kewujudan fenomena gangguan makhluk halus. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.