Malaysia Hilang RM10.8 Bilion Pelaburan Asing Sejak Peralihan Kerajaan

KUALA LUMPUR – Aliran keluar dana asing dalam pasaran ekuiti tempatan masih terkawal dan semakin berkurangan, demikian menurut penganalisis dan pemerhati pasaran.

Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata julat jualan bersih asing kekal di bawah RM200 juta mulai minggu bermula 2 Julai hingga 13 Julai, kecuali pada 6 Julai yang menyaksikan aliran keluar yang tinggi sebanyak RM393.6 juta bersih, yang dikaitkan dengan penguatkuasaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas import China.

Untuk minggu yang baru berakhir, tidak termasuk Jumaat, aktiviti jualan bersih asing kurang daripada RM100 juta, kecuali pada Rabu, apabila pasaran tempatan menyaksikan aliran masuk bersih RM71.7 juta.

Oleh itu, jumlah jualan bersih asing bagi minggu lepas, tidak termasuk Jumaat, berjumlah RM182.5 juta bersih berbanding RM531.8 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, katanya.

“Kami menjangkakan aliran keluar asing akan terus rendah jika tiada berlaku sebarang keadaan yang tidak dapat dielakkan, dan pelabur asing akirnya akan beransur-ansur kembali ke pasaran Malaysia,” katanya.

Sepanjang 10 hari pertama dagangan, Bursa Malaysia berada dalam aliran menaik, namun kembali merosot akibat pengambilan untung pada Jumaat.

Adam berkata dana institusi tempatan menyumbang sebahagian besar kepadaa peningkatan itu, menyokong melonjakkan saham tempatan dalam tujuh daripada sembilan hari operasi Bursa Malaysia baru-baru ini.

“Jumlah terkumpul bersih dana institusi dalam tempoh sembilan hari itu ialah sebanyak RM636.9 juta, manakala pelabur asing membuat jualan bersih berjumlah RM714.3 juta,” katanya.

Beliau berkata pelabur asing setakat ini menarik balik RM10.8 bilion bersih sejak Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia yang menyaksikan kerajaan baharu, Pakatan Harapan, mengambil alih kuasa, manakala minggu dengan jualan bersih asing tertinggi ialah pada minggu yang berakhir pada 18 Mei, apabila sejumlah RM2.5 bilion mengalir keluar.

Namun, Adam berkata berbanding dengan tiga pasaran ASEAN lain – Thailand, Filipina dan Indonesia – Malaysia mencatat aliran keluar kedua paling rendah selepas Filipina, dengan jumlah setakat 19 Julai 2018 sebanyak AS$2.06 bilion atau RM8.24 bilion.

Thailand merekodkan aliran keluar terbesar sebanyak US$6.19 bilion, katanya.

Adam berkata aliran keluar modal asing di rantau ini sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor luaran, dengan kebimbangan perang perdagangan AS-China menjadi penyebab utama yang mencetusan keadaan huru-hara dalam ekuiti di seluruh dunia.

Selain itu, isu Brexit dan hubungan antara Amerika Syarikat dan Korea Utara bagi membebaskan sepenuhnya Semenanjung Korea daripada senjata nuklear, selain dasar monetari di seluruh dunia, turut menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew yang menyuarakan sentimen yang sama, berkata tahap pengaliran keluar dana secara besar-besaran semakin reda.

Berbanding kedudukan semasa krisis kewangan 2013 yang menyaksikan aliran keluar asing daripada ekuiti tempatan berjumlah kira-kira RM11.8 bilion, beliau berkata paras semasa aliran keluar hampir sama.

“Aliran keluar mula perlahan dan saya tidak terkejut jika ia akan berhenti tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, ekuiti Malaysia agak menarik dari segi penilaian selain kedudukan ringgit yang jelas kurang daripada nilai sebenar, kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

“Oleh itu, pasti ada sebab untuk pelabur asing memasuki bursa tempatan.

“Satu-satunya kebimbangan ialah prospek pendapatan ekoran ketidaktentuan faktor luaran seperti ketegangan perdagangan serta potensi peningkatan kadar faedah di Amerika Syarikat,” katanya.

Mengenai prestasi ringgit, Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata unit tempatan menyusut dan melepasi tahap psikologi 4.05, susulan pengukuhan berterusan dolar AS.

Beliau berkata komen oleh Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Jerome Powell yang memihak kepada peningkatan kadar faedah, mendorong pengukuhan dolar AS minggu ini.

Penyiaran data pengangguran AS pada Khamis juga positif kepada dolar AS dan menyokong langkah Fed untuk melaksanakan kenaikan secara berperingkat dua kali untuk tempoh berbaki tahun ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.