Lambakan Kasut Sekolah Putih Akan Akibatkan Pembaziran RM210 Juta – MRA

KUALA LUMPUR- Tukar kasut sekolah bewarna putih kepada hitam bukan satu idea yang baik.

Itu pandangan Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) kerana peraturan baharu itu bakal membebankan ibu bapa selain menyebabkan lambakan kasut putih dalam pasaran.

Ahli Majlis MRA, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, penggunaan kasut sekolah putih selama ini tidak pernah menimbulkan masalah.

Justeru beliau meminta kerajaan memberi penjelasan lanjut kepada pihak peruncit, pengilang dan ibu bapa mengenai cadangan baharu itu.

“Saya berpendapat tiada sebab untuk mengubah (dasar) yang tidak mempunyai masalah. Kita hanya akan mengubah sesuatu sekiranya ianya tidak betul atau tidak logik tetapi selama ini, pemakaian kasut putih tidak pernah menimbulkan masalah.

“Sekiranya kasut putih cepat kotor dan membebankan ibu-ibu untuk membasuhnya, saya tidak ingat sejak bila ibu-ibu yang perlu membasuh kasut sekolah anak?

“Sepatutnya ia dilakukan oleh anak itu sendiri iaitu memastikan semua pakaian sekolah mereka bersih dan kemas. Itu dinamakan disiplin,” katanya semasa sidang media khas berhubung isu itu di sini hari ini.

Menurut Ameer Ali, MRA telah menulis surat kepada semua kementerian berkaitan untuk menyatakan pandangan mereka berhubung isu tersebut.

Pada minggu lepas, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mencadangkan supaya pemakaian kasut sekolah berwarna putih kepada hitam dan ia dilakukan secara berperingkat selama 18 bulan.

Menurut Ameer, ibu bapa juga tidak perlu dibebankan dengan peraturan baharu itu kerana penukaran kasut sekolah berwarna putih kepada hitam menuntut perbelanjaan kepada pengguna.

Dengan mengambil anggaran harga purata sepasang kasut sekolah adalah RM30 sepasang didarab dengan jumlah pelajar sekolah di negara ini seramai tujuh juta orang, Ameer berkata, sekurang-kurangnya RM210 juta dibazirkan hanya untuk menukar kasut sekolah.

“Sebagai peruncit, kami gembira apabila mendapat jualan sebanyak RM210 juta ini tetapi kenapa kerajaan perlu melakukan sesuatu yang boleh membebankan pengguna yang sudah sedia terbeban dengan kos sara hidup, GST dan SST?” katanya lagi.

Tambahnya, meskipun kerajaan memberi tempoh pelaksanaan secara berperingkat selama 18 bulan, ia tidak memberi sebarang kesan kepada peruncit kerana mereka telah pun membuat tempahan kasut sekolah berwarna putih lebih awal.

Ini bermakna, lambakan kasut sekolah berwarna putih akan tetap berlaku sekiranya dasar itu dilaksanakan walaupun secara berperingkat.

“Kakitangan kerajaan mungkin tidak tahu bagaimana kami (para peruncit) melakukan perniagaan. Kami sudah membuat tempahan kasut sekolah berwarna putih sejak awal lagi, bukan (tempahan) untuk tahun ini sahaja malah untuk tahun depan juga.

“Kami perlu membuat tempahan awal atau kami namakan pra-perancangan kerana sebagai peruncit kami akan disalahkan sekiranya sesuatu barangan itu tidak ada di dalam pasaran, jadi sekarang siapa yang mahu menanggung kerugian?

“Sebagai peruncit, kami akan ‘lepaskan’ kerugian kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.