Aduan Harga Barang Naik Meningkat Tiga Kali Ganda Selepas GST Sifar – Saifuddin

Jumlah aduan berhubung kenaikan harga barang selepas pengumuman kerajaan menurunkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dari 6% kepada 0% meningkat tiga kali ganda, kata Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, jumlah aduan berkaitan peningkatan harga barang meningkat daripada 1,400 pada Mei tahun ini kepada 4,500 pada bulan berikutnya.

“Separuh daripada aduan berkaitan peningkatan harga makanan dan minuman di restoran,” ujarnya dipetik The Star.

Kadar GST kepada 0% berkuatkuasa semenjak 1 Jun lalu sebagai sebahagian daripada manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan cukai berkenaan dan menggantikannya kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijangka berkuatkuasa pada 1 September ini.

Dipetik laporan Mstar sehari selepas kadar GST diturunkan, orang ramai mengharapkan agar barangan menjadi lebih murah.

Malah Saifuddin dipetik Berita Harian pada 6 Jun menyatakan 70 peratus harga barangan sudah turun semenjak GST diturunkan kepada 0% meliputi barang basah, kering, keperluan bayi serta beberapa lain, hasil pemeriksaan di 1,688 premis seluruh negara.

Namun berdasarkan pengumuman terbaru oleh Saifuddin, hakikat adalah sebaliknya.

Justeru beliau menggesa rakyat terus menjadi mata dan telinga kerajaan bagi untuk terus mengawasi harga barang di pasaran.

“Rakyat, sebagai pengguna, lebih mengetahui mengenai pergerakan harga. Mereka berbelanja di pasaraya dan kedai runcit, jadi mereka lebih tahu.

“Cara terbaik untuk melaporkan kepada kementerian maka kita akan menggubal pelan strategik,” katanya lagi turut menambah terdapat 1,044 warga kementerian ditugaskan khas untuk memantau harga barang.

Lapor The Star, kegusaran kenaikan harga barang turut dinyatakan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, serta Presiden Persatuan Peruncit-Rantaian Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua

The Star turut menembual Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia, Ayoob Khan Muhamad Yakub yang menegaskan kesemua restoran milik ahlinya menjual makanan dan minuman mengikut ketetapan harga ditetapkan pihak kementeria.

Katanya, sebanyak 4,000 restoran tidak menaikkan harga makanan dan minuman di premis masing-masing.

“Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat kenaikan harga, pengguna mempunyai hak untuk membuat aduan dengan kementerian.” – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.