Setiausaha Akhbar Trump Umum Letak Jawatan

WASHINGTON – Jurucakap White House, Sean Spicer meletak jawatan kelmarin sekali gus mengakhiri tempoh singkat dan bergelora yang menjadikannya dikenali ramai ketika pergolakan dalaman pentadbiran Presiden Donald Trump.

Menurut Reuters, White House mengesahkan perkara itu dan menyatakan Trump telah menamakan bekas pembiaya Wall Street, Anthony Scaramucci sebagai Ketua Komunikasi yang baharu.

Walaupun peletakan jawatan itu sesuatu yang tidak mengejutkan, pemergian Spicer (gambar), 45, dianggap sebagai mendadak dan mencerminkan kekacauan dalam pasukan undang-undang dan media Trump ketika penyiasatan kemungkinan campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden 2016.

Sebelum ini, pelakon Melissa McCarthy melakukan parodi melucukan dalam rancangan Saturday Night Live yang me­nunjukkan sifat agresif Spicer ketika berada dalam sidang media White House, lapor Kosmo.

Sejak awal lagi, Spicer sentiasa mengundang kontroversi dengan menyerang media dalam kemunculan pertamanya sebagai setiausaha akhbar kerana melaporkan ketidaktepatan jumlah kehadiran orang ramai ketika majlis pelantikan rasmi Trump.

“Ia adalah kehadiran paling ramai pernah berlaku dalam mana-mana majlis pelantikan presiden sama ada secara individu dan seluruh dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan yang telah mencetuskan kritikan ramai.

White House tidak memberikan sebarang alasan terhadap peletakan jawatan Spicer.

Akhbar The New York Times me­laporkan pemberhentian Spicer adalah disebabkan pelantikan Scaramucci oleh White House.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.