Orang Ramai Dinasihat Tidak Panik Khabar Angin Penyakit Rabies

SIBU – Orang ramai di Sibu diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan panik dengan khabar angin yang tular di media sosial menyatakan penyakit anjing gila atau rabies sudah mula merebak di bandar itu.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapaee berkata, sebaliknya mereka perlu menyelidiki kesahihan khabar angin berkenaan terlebih dahulu dan tidak menyebarkannya kepada masyarakat.

“Hanya laporan atau kenyataan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang dikeluarkan pada 5 petang setiap hari adalah rasmi dan sahih,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah-tamah Aidilfitri di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) di sini malam tadi.

Dr Annuar ditanya mengenai khabar angin kononnya kes rabies kini sudah merebak di kawasan antara Km 10 dan Km 12 Jalan Oya di sini.

Beliau yang juga Menteri Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan berkata, orang ramai perlu mengetahui bahawa tidak semestinya kejadian terkena gigitan anjing akan menyebabkan mangsa dijangkiti rabies.

“Walaupun digigit anjing gila, tidak semestinya 100 peratus mendapat penyakit itu (rabies) tapi kalau dicuci dan dibersih tempat kena gigitan serta mendapat suntikan empat kali, insya-Allah 99.9 peratus sembuh,” katanya.

Apa yang penting katanya ialah rawatan harus diambil pada kadar segera selepas digigit anjing yang disyaki dijangkiti rabies.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memuji jawatankuasa pengurusan Masjid An-Nur Sibu atas kejayaan menganjurkan majlis hari raya yang turut menjemput pertubuhan keagamaan bukan Islam di bandar ini sekali gus menunjukkan semangat perpaduan dan toleransi penduduk pelbagai kaum. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.