Noh Omar Selar Kerajaan Selangor Gagal Selesai Isu Kesihatan

SEMENYIH – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar hari ini menyelar kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang  hanya pandai berpolitik namun gagal selesaikan isu kesihatan yang membelenggu rakyat.

Beliau berkata Selangor merupakan ‘juara’ kes denggi apabila mencatatkan kes tertinggi selama enam tahun berturut-turut selain turut merekodkan kes kencing tikus yang tinggi.

“Di peringkat negeri katanya rakyat pentingkan isu kesihatan, dia (Mohamed Azmin) kata dia lancar kad peduli kesihatan, tetapi dari segi keseluruhan Selangor mencatatkan dua rekod iaitu denggi paling tinggi dalam negara hingga ada kematian dan penyakit kencing tikus, ini juga (Selangor) ‘johan’,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor yang hanya menghantar pegawai biasa ke mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.

“Negeri lain hantar ketua menteri, menteri besar sendiri datang macam Kelantan dan Pulau Pinang hantar exco, tetapi Selangor hantar pegawai biasa. Jadi di mana yang menunjukkan mereka serius untuk membantu rakyat,” kata Noh.

Katanya beliau turut dituduh menimbulkan kontroversi apabila menyentuh isu kemiskinan bandar.

“Begitulah dia angan-angan terlalu tinggi, macam kisah Mat Jenin sebab itu saya panggil dia ‘Mat Nin’. Bila kita mahu bantu dia tunjuk ego,” kata Noh.

Terdahulu beliau menghadiri perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Langat yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!