Lebih 140,000 Orang Naik MRT Sungai Buloh – Kajang Semalam

KUALA LUMPUR – Kadar penggunaan Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) melangkaui jangkaan apabila 142,313 penumpang menggunakan perkhidmatan awam itu, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman, berkata jumlah itu menunjukkan perkembangan positif ke arah penggunaan pengangkutan awam di negara ini kerana lazimnya jumlah pengguna hanya tinggi ketika waktu bekerja.

“Berdasarkan jumlah penumpang yang dicatatkan semalam, kita menjangkakan kadar pengguna MRT laluan SBK, hari ini akan merekodkan angka yang sangat tinggi.

“Oleh itu, kita berharap orang ramai yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor akan terus menggunakan pengangkutan awam, berbanding memandu kenderaan persendirian untuk ke ibu kota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelancaran MRT laluan SBK yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 17 Julai lalu, disusuli berita gembira apabila pengguna diberikan diskaun 50 peratus, berkuat kuasa 18 Julai hingga 31 Ogos untuk semua rel diselia Prasarana Malaysia Bhd, iaitu MRT, Aliran Transit Ringan (LRT) dan monorel.

Zohari berkata, pengoperasian jajaran sejauh 51 kilometer dan 31 stesen itu mencatatkan peningkatan mendadak kadar pengguna.

“Seramai 90,409 orang mengambil peluang menaiki MRT sehari selepas ia dilancarkan, malah angka itu terus meningkat kepada 96,887 orang pada keesokan harinya.

“Pada 20 Julai lalu, jumlah penumpang MRT melonjak kepada 95,009 sebelum mencecah 110,782 iaitu melangkaui aras 100,000 kelmarin.

“Kita berterima kasih kepada penumpang yang menyahut seruan untuk beralih kepada pengangkutan awam, justeru diharapkan orang ramai terus menggunakan perkhidmatan diselia Rapid Rail,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.