Husam Guna Populariti Orang Lain Untuk ‘Julang’ Nama Sendiri, Kata Pemimpin PAS

SHAH ALAM – Cadangan dikemukakan Penasihat DAP Lim Kit Siang adalah satu cadangan yang ditunggu-tunggu oleh Datuk Husam Musa untuk ‘menjulang’ semula imej serta kredibilitinya yang terjejas teruk selepas keluar daripada PAS, demikian kata Pengarah Pusat Kajian Strategik Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof.

Malah bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan semasa era Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini memberitahu Husam sentiasa menggunakan populariti pemimpin utama dalam PAS untuk meningkatkan pengaruh serta kedudukannya di negeri tersebut.

“Di sini secara peribadi saya melihat itu yang ditunggu-tunggu oleh Husam sendiri untuk mencari tokoh lain menjulang kredibiliti dia itu.

“Untuk menjulang kredibiliti dia di mata awam kerana kita tahu bahawa pengalaman Husam sendiri semasa dia dalam PAS dulu pun sentiasa menumpang jolokan-jolokan daripada pemimpin lain,” katanya kepada Antarapos.

Baru-baru ini Kit Siang dalam kenyataannya menyokong Husam sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika tampuk pemerintahan negeri tersebut berubah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kit Siang berkata, pemilihan Husam dibuat bagi membawa perubahan besar kepada Kelantan yang selama ini diperintah oleh kepemimpinan PAS.

Kenyataan itu disokong Husam yang menyatakan kesediaannya dinamakan sebagai calon Menteri Besar bagi tujuan strategik Pakatan Harapan merampas negeri ini.

Menurut Wan Nik lagi, Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut menggunakan pengaruh Nik Aziz untuk meraih populariti dan mengukuhkan kedudukannya dalam politik di negara ini.

“COntohnya dia dapat bermula di Kelantan melalui tok guru Nik Aziz sehingga mana tok guru Nik Aziz sanggup kata Husam ini satu Malaysialah dan segala-galanya lebih pada Husam.

“Jadi dengan cara ini kita baca bahawa memberi kredit dari sudut nilai kredibiliti Husam itu yang penting kepada sokongan pemimpin-pemimpin dan juga penyokong dia,” katanya.

Justeru bekas Anggota Parlimen Bachok ini menganggap cadangan dikemukakan Kit Siang itu tidak akan dilepaskan Husam untuk meraih populariti dan mendapatkan perhatian menjelang PRU14 tidak lama lagi.

“Jadi inilah yang positif kepada Husam buat masa ini,” katanya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.