Filem Blok 404 Lebih Seram

Dengan berani pembikin karya menghasilkan sebuah filem dengan mengambil judul cerita yang pernah mencipta kejayaan pada tahun 2003.

Datuk Norul Iman Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman, 36, apabila berhasrat menghasilkan filem dengan judul Blok 404, cerita bergenre seram yang pernah mencetuskan fenomena sekitar 16 tahun dahulu.

“Saya sudah rancang untuk hasilkan semula cerita Blok 404 sejak empat tahun lalu. Masakan tidak, cerita dengan judul itu pernah mencetuskan fenomena kepada industri hiburan pada 2003. Malah, cerita Blok 404 yang ketika itu dijual dalam bentuk cakera padat video (VCD) juga menerima kutipan tertinggi dan pelakon-pelakonnya yang terdiri daripada saya, Nabila Huda, Zamarul Hisham serta Raja Azrey melonjak nama menerusi cerita tersebut.

“Maka, disebabkan itu saya ingin menghasilkan semula cerita berkenaan,” ujarnya memetik sumber Sensasi Bintang.

Menganggap judul Blok 404 itu sudah menjadi satu kekuatan untuk menarik peminat tempatan menonton filem berkenaan, filem yang menelan kos kira-kira RM700,000 itu dijangka menemui peminat pada Disember nanti.

“Saya terpanggil untuk menghasilkan semula filem ini kerana percaya Blok 404 masih mempunyai pengikut yang ramai,” jelasnya.

Bukan kesinambungan daripada cerita Blok 404 sebelum ini, filem dengan judul sama itu menghasilkan plot cerita berlainan, bahkan jauh lebih seram dan mendebarkan.

“Ini bukan kesinambungan Blok 404 yang dahulu. Cuma, saya ambil judul dan pertemukan semula semua pelakon-pelakon asalnya. Cuma, Nabila Huda sahaja yang tidak dapat turut serta dalam filem ini kerana jadual penggambaran bertindih dengan drama lain. Namun, saya akan cuba lagi untuk dapatkan dia (Nabila). Kalau ada rezeki, alhamdulillah, kalau tidak saya pasrah” jelasnya mengenai filem yang masih dalam pembikinan itu.

Selain mengekalkan pelakon asal seperti Zamarul, Raja Azrey dan Boy Iman, filem yang diarahkan Azma Aizal Yusoof itu turut menampilkan beberapa pelakon popular seperti Fasha Sandha, Risteena Munim, Nadia Brian dan Amar Ashraf.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.