94,956 Peneroka Felda Dapat Durian Runtuh, Bayaran Khas RM5,000

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan durian runtuh kepada peneroka Felda di seluruh negara termasuk bayaran khas berjumlah RM5,000 kepada 94,956 peneroka yang layak, melibatkan peruntukan sebanyak RM474.78 juta.

Menurut Perdana Menteri, pembayaran berkenaan akan dibuat pada penghujung Ogos ini. Pengumuman berkenaan dibuat ketika beliau merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda 2017 di Dataran Putrajaya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan beberapa insentif lain kepada peneroka.

* Dana khas RM300 juta diwujudkan bagi tempoh 2017-2021 untuk lupuskan lebihan hutang tanam semula.

* Pelupusan hutang tanaman semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula dengan Felda.

* Geran khas tanam semula peneroka RM7,500 setiap hektar melalui program tanam semula FELDA.

* Pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FGV libatkan lebih 77,000 peneroka. Bagi 1,626 peneroka yang telah membayar habis akan menerima ganjaran tunai RM1,820.

Najib memberitahu, insentif itu akan diberikan kepada 94,956 peneroka yang layak di mana kebunnya diuruskan oleh Felda atau menghantar hasil kepada Felda.

“Walau bagaimanapun atas nawaitu dan semangat muafakat, buat pertama kalinya secara rasmi mengumumkan akan memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada Felda dan peneroka yang menyaman Felda, untuk kembali bermuafakat bersama Felda.

“Namun waktu untuk bermuafakat adalah enam bulan dari Ogos dan penuhi syarat yang dipenuhi. Kalau dapat tunaikan syarat barulah boleh terima insentif ini,” kata beliau sambil disambut dengan sorakan dan tepukan ramai.

Dalam ucapannya itu juga, Najib memberitahu tiada siapa yang boleh mengganggu keakraban Felda. Kerajaan katanya akan terus berjuang bagi membela nasib Felda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.