Palestin Putuskan Hubungan Dengan Israel

RAMALLAH – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan tindakan memutuskan semua hubungan dengan Israel kelmarin, selepas seminggu keganasan yang membawa maut berikutan kawalan ketat rejim Zionis ke atas kawasan Masjid Al-Aqsa.

Dpa melaporkan, Mahmoud menyatakan langkah itu merupakan respons kepada keputusan Israel yang meningkatkan anggota tentera dan polis di kawasan suci umat Islam di Baitulmuqaddis itu sekali gus menyekat kunjungan umat Islam.

“Saya mengisytiharkan, atas nama kepimpinan Palestin, penggantungan semua hubungan dengan Israel di semua peringkat sehingga Israel membatalkan semua tindakan terhadap rakyat Palestin, Baitulmuqaddis dan terutamanya Masjid Al-Aqsa,” kata Mahmoud kepada Kabinet, llapor Kosmo.

Sehingga semalam tiga penduduk Palestin ditembak mati dan 400 orang lagi cedera ketika pertempuran dengan polis Israel di sekitar Baitulmuqaddis dan Tebing Barat awal pagi kelmarin.

Tentera Israel turut memberi­tahu tiga orang penduduknya telah ditikam mati dalam serangan di sebuah rumah di penempatan Tebing Barat petang kelmarin.

Penyerang warga Palestin tersebut telah ditembak dan dicederakan oleh penduduk setempat.

Bercakap dalam mesyuarat tergempar bersama Kabinet Palestin untuk membincangkan perkembangan terbaharu di Baitulmuqaddis, Mahmoud menggesa Israel supaya membuang alat pengesan logam yang diletakkan di pagar masjid dan membenarkan akses bebas kepada umat Islam.

Polis Israel dilaporkan mengepung orang ramai yang berkumpul di wilayah perniagaan di timur Baitulmuqaddis selepas solat Jumaat kelmarin dan melepaskan bom gas pemedih mata serta peluru getah.

Seorang warga Palestin mati ditembak, lapor agensi berita Palestinian Maan, manakala mangsa kedua ditembak mati di timur Baitulmuqaddis oleh penduduk Israel.

Mangsa ketiga pula ditembak mati di dada ketika pertempuran di Abu Dis, timur Baitulmuqaddis, ujar kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.