TMJ Enggan Serah Bukti Dakwaan Salah Laku Dalam Pendrive

KUALA LUMPUR – TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa beliau tidak akan menyerahkan pendrive yang me­ngandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaliknya akan menyelesaikannya sendiri.

 

Bagaimanapun pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata beliau hanya akan meminta pertolongan daripada SPRM untuk menyelesaikan isu tersebut jika perlu.

 

“Maklumat di dalam pendrive ini adalah hak milik saya. Saya sendiri akan selesaikan isu ini dan sekiranya saya mahu pertolongan SPRM, saya sendiri yang akan memanggil SPRM.

 

“Tidak perlu hendak diperhebohkan mengenai hal ini. Buat masa ini biarlah saya selesaikan isu ini dengan pihak tertentu,” katanya dalam akaun Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers semalam.

 

Isu antara Tunku Ismail dengan FAM bermula selepas arena bola sepak tempatan digegarkan dengan persaraan empat tonggak skuad kebangsaan iaitu Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal yang ke­semuanya merupakan pemain JDT.

 

Kemudian, Tunku Ismail membidas FAM berhubung isu latihan skuad kebangsaan, ra­suah, tidak menjaga kebajikan pemain dan fungsi Football Limited Liability Partnership (FMLLP).

 

Tidak cukup dengan itu, Tunku Ismail mendakwa bahawa beliau memiliki pendrive yang mengan­dungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku badan induk bola sepak negara itu.

 

Selain itu TMJ turut membuat pendedahan apabila mengeluarkan sedutan daripada maklumat yang berkemungkinan terkan­dung dalam pendrive yang didakwa oleh beliau diperoleh daripada rakan-rakan berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

 

Kemudian, Tunku Ismail memaklumkan bahawa beliau bakal bersemuka dengan Exco tertinggi FAM secara peribadi dan privasi untuk membincangkan serta menyelesaikan setiap isu seperti yang didakwa.

 

Pertemuan tersebut, yang akan dibuat sama ada di Kuala Lumpur atau Johor, juga bertujuan menggesa individu-individu tertentu berundur dan memberikan tugasan tersebut kepada mereka yang lebih berkaliber, dedikasi serta berintergriti menerajui FAM termasuk pengurusan skuad kebangsaan.

 

BERIKUT adalah kenyataan penuh Tunku Ismail menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers.

 

Pada saya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini JDT adalah kelab yang paling berjaya di rantau Asia Tenggara. Kami adalah juara sebenar dalam negara kerana kami telah berjaya mencapai kejayaan menentang sistem. Kami memenanginya de­ngan mewujudkan sebuah kelab tanpa memerlukan dana dari kerajaan kerana dana tersebut sepatutnya menjadi milik rakyat dan bukannya digunakan untuk bola sepak.

 

Saya bukan berjaya kerana saya seorang presiden sebuah persatuan dan mempunyai pe­ngadil yang bekerja dalam persatuan saya. Saya bukan berjaya kerana pengadil yang memberikan sokongan terhadap parti politik yang saya turut terlibat di dalamnya. Saya bukan berjaya dengan membelanjakan duit rakyat atau wang untuk kegunaan peneroka.

 

Kepada Ahli Parlimen Kota Tinggi, Ahli Parlimen Sekijang dan pucuk pimpinan Felda, beringatlah bahawa duit peneroka atau dana kerajaan sepatutnya digunakan untuk rakyat dan bukan bola sepak demi kesinambungan politik dan untuk menguntungkan sesetengah kontraktor-kontraktor Felda.

 

Seperkara yang terakhir, kepada pihak SPRM, tindakan anda ibarat seperti begitu terhegeh-hegeh hendak menyiasat FAM, adakah anda mahu menyiasat atau lebih hendak tahu siapa yang memberi maklumat kepada saya. Banyak lagi kes-kes besar di dalam negara ini yang masih tak mampu SPRM selesaikan. Lebih baik berikan tumpuan kepada kes-kes yang belum diselesaikan.

 

Maklumat di dalam pendrive ini adalah hak milik saya. Saya sendiri akan selesaikan isu ini dan sekiranya saya mahu pertolongan SPRM, saya sendiri yang akan memanggil SPRM. Tidak perlu hendak diperhebohkan mengenai hal ini. Yang tidak ada kena mengena lebih baik duduk diam-diam sahaja. Selesaikan masalah dan hutang masing-masing.

 

Masalah FAM ialah terlalu ramai pejuang FAM di luar FAM. Buat masa ini biarlah saya selesaikan isu ini dengan pihak ter­tentu. Dan sebelum saya terlupa, pertanyaan ini ditujukan kepada Dato Taufek (Abdul Razak) yang mengeluarkan kenyataan dalam Harian Metro pada hari ini, anda dapat gelaran Dato dari mana? Terima kasih. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.