Polis Siasat ‘Tentera Mahdi’

IPOH – Polis Perak akan mengadakan risikan terperinci dan perbincangan bersama dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) berkenaan isu pemuda yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan menubuhkan sebuah kumpulan bersenjata bergelar ‘tentera Mahdi’.

 

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya kini dalam proses pemantauan dari semua aspek dan sudut yang boleh membantu dalam menyelesaikan kes berkenaan.

 
“Kita akan mengambil tindakan setelah perbincangan lanjut diadakan bersama JAIPk dan kami akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan mengenai kes ini.

 

“Buat masa ini, kita masih belum boleh menentukan kesalahan dia tetapi kita akan maklumkan jika sebarang tindakan diambil,” katanya kepada pemberita.

 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Aidilifitri Polis Perak di Mesy Pegawai Kanan, Tiger Lane pada malam Jumaat.
Jelasnya, beliau tidak boleh memberitahu secara lanjut mengenai tindakan seterusnya namun langkah-langkah untuk mengesan “Imam Mahdi” itu telah pun dimulakan dengan kerjasama JAIPk.
Katanya lagi, setakat ini kes tersebut masih belum diklasifikasikan di bawah mana-mana akta yang termaktub.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berhubung sebuah kumpulan ajaran sesat di negeri ini, yang dikatakan sedang mengembangkan pengaruhnya ke seluruh negara.-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.