Wanita Mati Di Penjara Jadi Mangsa Ego Polis

Chicago – Seorang wanita kulit hitam yang ditemui mati dalam sebuah penjara di Texas, minggu lalu, ditahan kerana menjatuhkan ego anggota polis, demikian dakwa ahli keluarganya.

 

Sandra Bland, 28, ditemui mati tergantung dalam sel penjaranya menggunakan beg plastik sampah, tiga hari selepas dia ditahan anggota polis berkulit putih, Brian Encinia, gara-gara tidak menggunakan isyarat kereta ketika menukar laluan, pada 10 Julai lalu, dekat Prairie View, Texas, barat laut Houston.

 

Ketika diberhentikan, Bland mempersoalkan tindakan Encinia.

 

Ia kemudiannya bertukar menjadi perbalahan antara Bland dan Encinia, sebelum wanita itu ditahan dan berdepan pertuduhan menyerang anggota polis.

 

Kematian Bland pada mulanya dikategorikan sebagai bunuh diri, sebelum ia disiasat sebagai kes pembunuhan.

 

Keluarganya mempersoalkan kesimpulan awal yang dibuat polis bahawa Bland membunuh diri, kerana menurut mereka, wanita itu amat gembira untuk memulakan pekerjaan baru dan tiada sebab untuknya membunuh diri.

 

Seorang pendakwa raya bersetuju yang kematian Bland meragukan, justeru siasatan dijalankan bagi menjawab persoalan mereka.

 

Berdasarkan rakaman video yang dikeluarkan kelmarin, kakak mangsa, Sharon Cooper mendakwa Encinia sengaja mencari pasal dengan Bland, memandangkan adiknya hanya melakukan kesalahan kecil.

 

Jelasnya, Encinia marah, kerana egonya dijatuhkan seorang wanita, selepas Bland enggan bekerjasama dan mematikan rokoknya.

 

Rakaman video itu turut menunjukkan lelaki terbabit kemudiannya mengeluarkan senjata renjatnya dan memberi amaran akan menggunakan alat berkenaan, jika Bland enggan keluar dari keretanya.

 

Ditanya sama ada dia percaya Bland diberhentikan disebabkan warna kulitnya, katanya: ” Saya rasa dia diberhentikan, kerana dia adalah penduduk dari negeri lain.”

 

Peguam keluarga mangsa turut mempersoalkan dakwaan Bland pernah mengalami kemurungan dan memberitahu Jabatan Syerif Daerah Waller, dia cuba membunuh diri tahun lalu.

 

“Semua orang pernah melalui suka dan duka, tetapi dia tidak pernah disahkan secara klinikal atau mengambil sebarang ubat kemurungan.

 

“Sandy adalah seorang aktivis sosial dan aktivis sosial tidak boleh bunuh diri, khasnya dalam penjara. Ia tidak masuk akal,” kata Cannon Lambert.

 

Mayat aktivis pergerakan Black Lives Matter itu akan dikebumikan di pinggir bandar Chicago, Sabtu ini.

 

Encinia telah digantung tugas, selepas siasatan awal mendapati, dia melanggar “dasar adab” dan prosedur ketika memberhentikan pesalah trafik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.