The Edge Masih Ada Pilihan Ketiga – Speaker Sabah

Kuala Lumpur – Speaker Sabah, Datuk Salleh Said Keruak tidak yakin dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat berhubung mengapa mereka memilih menggunakan bukti yang mereka ada terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Selain dua pilihan yang dibuat Ho, Salleh berkata, terdapat pilihan ketiga, iaitu melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa dan menyerahkan bukti yang mereka ada dengan segera.

 

“Itu yang The Edge tidak lakukan. Dan dengan tidak melaporkan apa yang mereka nampak sebagai jenayah, bermakna The Edge sendiri telah melakukan jenayah.

 

“Jadi, dalam keadaan ini, pihak berkenaan tidak boleh mendakwa sebagai ‘whistleblower’ dan meminta perlindungan,” katanya dalam catatan terbaru di blognya hari ini.

 

Kini, walaupun The Edge telah menyerahkan bukti kepada pasukan siasatan khas dan polis, Salleh masih tidak yakin dengan kerjasama yang diberikan itu serta mempersoalkan bukti terbabit.

 

Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut hairan, kenapa bukti yang diserahkan kepada pasukan siasatan khas pada Isnin lalu, hanya diterima polis keesokannya.

 

“Mengapa bukti berkenaan diserahkan kepada polis pada hari kedua dan adakah wujud salinan bukti sama yang diserahkan kepada pasukan siasatan khas?

 

“Ianya perlu disahkan, kerana rakyat tidak tahu sama ada terdapat dua bukti sama atau dua bukti berlainan.

 

“Hanya satu cara untuk mengetahuinya, iaitu pasukan siasatan khas perlu serahkan bukti itu kepada polis untuk dibuat perbandingan,” ujarnya.

 

Ketika kemelut melanda 1MDB membabitkan tuduhan berkaitan dokumen yang didedahkan itu dipalsukan, Ho muncul dan mempertahankan liputan meluas The Edge terhadap 1MDB dengan berkata, tiada sebab untuk bimbang sama ada dokumen yang mereka perolehi itu palsu.

 

Isnin lalu, dokumen berkenaan diserahkan kepada Bank Negara dan Ho dalam satu kenyataan turut mengesahkan ‘dokumen yang sama diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.