Teksi ‘Cekik Darah’ Bermaharajalela

Kuala Lumpur – Pemandu teksi ‘cekik darah’ terus bermaharajalela di Lembah Klang sekalipun pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dilihat memejamkan mata mereka dalam isu ini.

 

Seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Zahari berkata, beberapa hari sebelum Aidilfitri, banyak pemandu teksi meletakkan kenderaan mereka di hadapan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) dan mereka didatangi oleh sebuah keluarga dari Timur Tengah.

 

“Mereka menanyakan berapakah tambang untuk ke Bukit Bintang, yang lazimnya hanya menelan kos sebanyak RM10, dan pemandu teksi pertama memberitahu tambang dikenakan sebanyak RM280 manakala pemandu kedua pula RM260 dan pemandu ketiga menawarkan untuk menggunakan meter.

 

“Tindakan menggunakan meter itulah merupakan satu perkara yang baik namun malangnya pemandu tersebut telah mengubahsuai meter berkenaan yang akhirnya keluarga tersebut terpaksa membayar RM280 untuk perjalanan berkenaan,” katanya.

 

Tambah Zahari, ia bukanlah insiden pertama seumpamanya yang disampaikan kepadanya dalam tempoh beberapa hari ini.

 

Jelasnya, terdapat insiden lain iaitu daripada KLCC ke Mont Kiara yang mana pasangan dari Indonesia terpaksa membayar sebanyak RM70 untuk perjalanan berkenaan sedangkan ia tidak sepatutnya melebihi RM30.

 

“Jumlah pemandu-pemandu teksi seperti ini sangat kecil dan mereka cenderung untuk beroperasi di lokasi tumpuan pelancongan seperti KLCC, Bukit Bintang, Jalan Petang dan tempat terkenal lain.

 

“SPAD seolah-olah tidak melakukan apa-apa tindakan buruk mereka ini yang sekaligus memberikan imej buruk terhadap negara dalam kalangan pelancong asing.

 

“Sebaliknya SPAD dilihat memberikan tumpuan kepada perkara-perkara remeh seperti tidak memaparkan kad pemandu dengan teliti, meter terhalang, tidak memakai pakaian dengan kemas dan perkara-perkara lain,” ujarnya.

 

Zahari mengakui pemandu teksi yang berada di barisan hadapan perlu dilihat kemas dan rapi namun apa gunanya semua itu sekiranya pelancong mengelak untuk menggunakan perkhidmatan teksi disebabkan pemandu jahat dan cekik darah ini.

 

Sementara itu, seorang lagi pemandu, S.Muru berkata dia telah memandu teksi selama 15 tahun dan dalam tempoh tersebut pemandu-pemandu teksi ‘cekik darah’ ini dilihat semakin bertambah dan bukannya berkurangan.

 

“Saya pernah berhenti di hentian teksi di pusat bandar dan didatangi oleh pemandu teksi yang lain yang menasihatkan saya untuk tidak menggunakan meter sewaktu mengambil pelancong.

 

“Mereka mengatakan para pelancong senang untuk dikenakan kerana mereka akan membayarnya kerana tidak mempunyai pilihan.

 

“Saya enggan melakukannya dan terdengar keluhan mereka yang mengatakan saya telah menjejaskan periuk nasi mereka,” jelasnya.

 

Kata Muru lagi, sukar untuk difahami mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan ke atas individu-individu berkenaan.

 

Dia menegaskan, pemandu teksi tersebut melakukannya secara terbuka dan tidak bimbang terhadap tindakan yang akan dikenakan ke atas mereka.

 

“Kami ada mendengar SPAD cuba untuk membanteras pemandu teksi ‘cekik darah’ ini tetapi berdasarkan pengalaman saya SPAD hanya menumpukan ke atas kesalahan-kesalahan remeh seperti meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan dan mereka yang melakukan kesalahan besar terus bermaharajalela,” katanya.

 

Tegas Muru, di Publika, Mont Kiara ramai pemandu teksi menunggu penumpang pada waktu malam dan mereka enggan menggunakan meter.

 

SPAD juga katanya tidak mengambil sebarang tindakan ke atas perkara tersebut sedangkan mereka dengan mudah mengambil tindakan ke atas kesalahan-kesalahan kecil.

 

“Berdasarkan pengalaman saya, SPAD akan mengatakan bahawa perkara tersebut tidak berlaku sewaktu mereka berada di situ dan sekiranya begitu maka tempatkan pegawai di setiap kawasan ini sehinggalah pemandu ‘cekik darah’ ini menghentikan aktiviti mereka,”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.