Tak Sempat Beraya Rumah Kawan

Bagan Serai – Dua rakan karib tidak sempat beraya ke rumah rakan apabila salah seorang daripada mereka maut digilis sebuah kenderaan dalam satu kejadian kemalangan di Kilometer 114, Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Kampung Sungai Bogak, dekat sini, kelmarin.

 

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa Nur Faten Hanani Muhamad Azmi, 18, yang membonceng motosikal jenis Modenas Kriss maut di tempat kejadian akibat digilis di bahagian kepala dan badan.

 

Menurutnya, mangsa yang membonceng motosikal dengan seorang rakan dari arah Bagan Serai menghala ke Parit Buntar dan sedang dalam perjalanan beraya di rumah salah seorang rakan mereka di Simpang Lima, Parit Buntar.

 

“Siasatan polis mendapati motosikal ditunggang rakan mangsa cuba mengelak sebuah kenderaan yang berada di bahu jalan.

 

“Namun, sewaktu mangsa dan rakan memotong kenderaan itu, motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah kenderaan berat dipercayai lori.

 

“Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak sebelum salah seorang mereka digilis kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya, semalam.

 

Omar Bakhtiar berkata, berdasarkan kesan darah pada permukaan jalan raya, mangsa dipercayai diseret sejauh lebih 10 meter dari lokasi motosikal mangsa terjatuh.

 

Menurutnya, akibat kemalangan itu, rakan mangsa yang menunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah dan segera dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

 

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

“Pada masa sama, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu dan pemandu kenderaan terbabit agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

 

Dalam pada itu, salah seorang waris keluarga enggan dikenali berkata, mangsa yang maut merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Permatang Pauh, Pulau Pinang sejak sebulan lalu.

 

Menurutnya, mangsa menunjukkan kelainan pada perwatakannya sewaktu hari kejadian apabila bersikap begitu ceria sebelum melangkah keluar dari rumah bagi menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan lain.

 

“Perwatakan arwah berbeza dari hari biasa dan saya hanya sempat menasihatinya agar berhati-hati serta menyimpan beg duit di tempat selamat kerana bimbang diragut pencuri,” katanya. – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.