Selangor, Johor Paling Tinggi Projek Perumahan Terbengkalai

KUALA LUMPUR – Data daripada Jabatan Perumahan Negara menunjukkan negeri Selangor dan Johor merupakan antara negeri tertinggi yang mengalami masalah projek perumahan terbengkalai berban­ding negeri lain sejak tahun 2009.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Perumahan Negara, Kang Ban Aik berkata, Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 65 projek perumahan terbengkalai, manakala Johor pula sebanyak 42 projek.

 

Beliau berkata, Negeri Sembilan dan Perak juga merupakan negeri tertinggi apabila masing-masing mempunyai sebanyak 24 dan 18 projek perumahan terbengkalai.

 

“Negeri-negeri yang dinyatakan adalah negeri yang aktif dan paling banyak melaksanakan pemajuan perumahan. Oleh itu, bilangan projek terbengkalai yang tinggi adalah sejajar dengan jumlah pembangunan perumahan di kawasan tersebut.

 

“Namun begitu, peratusan projek perumahan terbengkalai masih rendah iaitu pada kadar kurang satu peratus setahun berbanding bilangan keseluruhan aktiviti pemajuan perumahan. Kerajaan sentiasa memandang serius masalah ini apabila mengambil inisiatif seperti mengenal pasti pemaju berkeupayaan dan berpengalaman untuk mengambil alih projek terbengkalai,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

 

Sementara itu, Ban Aik memberitahu, dari tahun 2009 hingga 31 Januari lalu, sebanyak 216 projek perumahan swasta telah diisytiharkan terbengkalai berdasarkan peruntukan Seksyen 11 (1) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

 

Bagaimanapun, katanya, hasil inisiatif dan tindakan proaktif yang dilaksanakan pihaknya, sebanyak 164 projek atau 75.9 peratus daripada projek yang diisytiharkan terbengkalai itu telah berjaya di­siapkan.

 

“Kita akan memastikan sebanyak 55 projek lagi berjaya diselesaikan yang mana sebanyak 30 projek berada dalam peringkat perancangan dan 22 projek berada dalam pelbagai peringkat pemulihan,” jelasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.