PM Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Zainol

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada anggota keluarga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji dan Pos Malaysia Bhd, Allahyarham Tan Sri Zainol Mahmood.

 

Zainol, 78, meninggal dunia akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Prince Court di sini, kira-kira 9.40 pagi ini.

 

Najib dalam Twitternya berkata; “Saya dimaklumkan bahawa bekas Pengerusi Tabung Haji & POS Msia, TS Zainol Mahmood, telah kembali ke rahmatullah. Moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah.”

 

Jenazah Allahyarham Zainol dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini selepas dimandikan di Masjid Kampung Baru di sini, kira-kira 5 petang ini.

 

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Rajmin Rashid, 73, dan tiga orang anak iaitu Zairila, 50, Rajman Zareqh, 43, dan Irazeqh, 40, serta lapan cucu.

 

Allahyarham yang berasal dari Kangar, Perlis memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Lumpur pada 1961 dan pernah memegang beberapa jawatan penting di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kerajaan Pulau Pinang.

 

Jawatan terakhir beliau dalam perkhidmatan awam adalah sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada Mei 1990 sehingga bersara pada April
1992.

 

Zainol dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Pos Malaysia Bhd mulai April 1992 hingga tahun 2001 dan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji pada 1 Ogos 2000 hingga 7 Ogos 2005. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.