Pengguna FB Puji Sikap Prihatin Viktor

Kuala Lumpur – Keprihatinan seorang pengguna jalan raya yang menyatakan rasa penghargaannya kepada pihak polis yang bertugas di musim perayaan mendapat pujian daripada warga netizen.

 

Pengguna Facebook Victor Chan berkongsi pengalamannya dalam menyatakan penghargaan kepada pihak polis yang bertugas memantau lalu lintas sempena musim perayaan.

 

Menurutnya, ketika pulang daripada gimnasium, dia ternampak sekumpulan anggota polis sedang menjalankan sekatan jalan raya di laluan bertentangan.

 

“Ketika itu saya melihat empat orang anggota polis sedang berehat dan makan tengah hari, saya terfikir mengapa mereka masih lagi bertugas di Hari Raya?”

 

“Saya rasa simpati dengan mereka, jadi saya membuat keputusan untuk memandu sekitar kawasan itu bagi mencari kedai unatuk membeli hamper,” katanya.

 

Menurut Victor, biasanya tidak akan menghampiri kawasan sekatan jalan raya, namun apa yang dilakukan olehnya pada hari itu adalah luar biasa.

 

“Saya lakukan sesuatu yang luar biasa, itu sebab saya agak gugup. Saya berhentikan kereta di kawasan sekatan jalan raya itu dan berjalan ke arah anggota polis yang bertugas.

 

“Saya hulurkan hamper, namun anggota berkenaan keliru dan bertanya, ia untuk siapa? Saya katakan pada anggota berkenaan, hamper ini untuk anda dan rakan-rakan, anda sepatutnya bersama keluarga pada Hari Raya dan bukannya bekerja. Jadi, inilah cara saya untuk menghargai jasa kamu sebagai anggota polis,” katanya.

 

Malah katanya, tiada seorang pun akan jatuh miskin sekiranya sentiasa memberi dan untuk mengubah dunia, ia haruslah bermula pada diri anda sendiri.

 

“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua dan salam Satu Malaysia,” katanya.

 

Posting Victor Chan itu yang dimuat naik 18 Julai itu mendapat lebih 50,000 Like dan dikongsikan lebih 5,000 kali oleh pengguna Facebook.

 

Malah posting berkenaan turut mendapat komen daripada warga netizen yang rata-ratanya memuji tindakan Victor.

 

Salah seorang pengguna Facebook, Daniel Lim Tak Sem berkata, “Kadang kala kita perlu fikirkan pengorbanan yang mereka lakukan, sanggup berdepan risiko menjaga keselamatan dan bekerja di bawah terik matahari.”

 

James Thaddeus T berkata, “Satu contoh yang baik yang memberikan lebih makna buat slogan 1Malaysia.”

 

Christopher Wu pula berkata, “Bagus untuk anda. Tidak ramai lagi warga Malaysia seperti anda. Respek!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.