Pasangan Dipercayai Dera Anak Sampai Mati Ditahan

Kuala Lumpur – Polis menahan ibu dan bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 bulan yang disahkan meninggal dunia dipercayai akibat didera.

 

Pasangan berusia lingkungan 26 dan 30 tahun itu ditahan ketika sedang menunggu jenazah mangsa di luar bilik mayat Hospital Tampin, Negeri Sembilan pada Selasa.

 

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Razali Sabar berkata, pasangan tersebut telah membawa mangsa ke hospital setelah mendapati kanak-kanak itu tidak sedarkan diri.

 

“Mangsa, Evan Chee Xin Ci ditemui ibunya tidak sedarkan diri di rumah mereka di Taman Padi Indah, Pulau Sebang, Alor Gajah kira-kira jam 5.30 petang kelmarin (selasa).

 

“Berdasarkan pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan retak pada tengkorak kepala serta kesan lebam dibeberapa bahagian badan mayat kanak-kanak itu dipercayai akibat didera,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

 

Tambah beliau, pegawai perubatan yang mengesahkan kematian kanak-kanak malang itu telah melakukan bedah siasat dan mendapati terdapat dua kesan retak pada tempurung kepala.

 

Turut ditemui kesan lebam baru di dahi, hidung serta kesan lebam lama.

 

Jelasnya, ibu bapa mangsa direman selama seminggu bagi membantu siasatan kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan latarbelakang pasangan itu turut dikenalpasti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.