Lima Gunung Berapi Indonesia ‘Mengamuk’

Jakarta – Jika sebelum ini hanya gunung berapi Raung dan Sinabung meletus, terkini tiga lagi gunung di Indonesia, masing-masing Gamalama, Dukono dan Karangetang pula memuntahkan debu dan batuan hingga menimbulkan kebimbangan penduduk sekitarnya.

 

Situasi terkini yang melanda Indonesia ini menyebabkan beberapa bahagian negara itu dilitupi awan debu tebal dan tiga lapangan terbang terpaksa ditutup.

 

Pakar gunung berapi Indonesia, Surono berkata, gunung Raung di Pulau Jawa mula memuntahkan debu dan batuan ke udara setinggi dua kilometer sejak beberapa minggu lalu, begitu juga gunung Gamalama dan Dukono yang terletak di kepulauan Moluccas.

 

Bagaimanapun, keadaan diburukkan lagi selepas gunung Sinabung di Sumatera dan gunung Karangetang di pulau Siau juga meletus, pada Rabu.

 

Sejak bulan lalu, lebih 13,000 penduduk yang majoritinya tinggal di kaki gunung Sinabung telah dipindahkan akibat aktiviti gunung berapi berkenaan.

 

Kata Surono, letusan lima gunung berapi secara serentak itu bukan kejadian luar biasa.

 

“Penilaian kami menunjukkan tiada fenomena luar biasa yang menyebabkan letusan lima gunung berapi secara serentak ini,” jelasnya.

 

Menurutnya, semua letusan berkenaan berlaku secara semula jadi dan ia normal bagi negara yang mempunyai kira-kira 130 gunung berapi aktif.

 

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pengangkutan, Julius Adravida Barata berkata, lapangan terbang Jember dan Banyuwangi ditutup lewat Selasa, manakala lapangan terbang Bali ditutup selama beberapa jam pada Rabu.

 

Selain itu, media tempatan turut melaporkan, 37 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali terpaksa dibatalkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.