Dua Maut Dalam Tragedi Kereta Api Langgar Lori

Prague – Dua penumpang maut, apabila sebuah kereta api berkelajuan tinggi melanggar sebuah lori di timur Republik Czech, hari ini.

 

Seramai 13 penumpang yang lain turut cedera dalam kemalangan yang berlaku di sebuah lintasan kereta api, di bandar Studenka, pada jam 7.43 pagi tadi.

 

Jurucakap agensi pemeriksaan kereta api, Martin Drapal memaklumkan, ketika kejadian, kereta api itu dalam perjalanan dari Bohumin ke Frantiskovy Lazne.

 

Tiga daripada 13 penumpang cedera itu dalam keadaan kritikal.

 

Menteri Dalam Negeri, Milan Chovanec berkata, pemandu lori yang terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan itu telah ditahan.

 

Susulan kemalangan itu, landasan kereta api utama yang menghubungkan Prague dengan bahagian timur negara berkenaan ditutup.

 

Ketika kejadian, sekumpulan pegawai kerajaan turut menaiki sebuah kereta api melalui laluan bertentangan, untuk menghadiri mesyuarat di bandar Ostrava, timur Republik Czech.

 

Perdana Menteri, Bohuslav Sobotka yang melawat tempat kejadian menyifatkan ia ‘kemalangan tragik dan serius’ serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.