Brendan Rodgers Enggan Ulas Isu Christian Benteke

Subang Jaya – Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers enggan mengulas mengenai pembelian Christian Benteke yang mana sebelum ini dikatakan sudah hampir dimutamadkan.

 

Menurut Rodgers, beliau tidak berminat untuk bercakap mengenai pemain yang akan keluar dan masuk daripada kelab berkenaan.

 

Jelas Rodgers, beliau hanya mahu memfokuskan kepada barisan pemain yang sedia ada dalam pasukan pada ketika ini.

 

Mengulas mengenai khabar angin bahawa Mario Balotelli akan meninggalkan kelab itu, Rodgers dilihat enggan untuk mengesahkannya.

 

“Mario berusaha keras seperti mana pemain lain.

 

“Jadi terpulang kepada Mario sekiranya dia masih lagi pemain Liverpool dan kita akan lihat apabila musim baru bermula,” katanya pada sidang media Malaysia XI vs Liverpool FC di sini hari ini.

 

Ujar Rodgers lagi, beliau berpuas hati dengan kemahiran dan kualiti yang dimiliki oleh enam pemain baru yang ditandatangani sebelum ini.

 

Katanya, kelab berkenaan membawa masuk pemain berkualiti ke dalam skuad selepas mengharungi musim yang mengecewakan pada musim lalu.

 

“Kami rasakan mentaliti yang dimiliki oleh pemain-pemain ini mampu untuk melonjakkan pasukan ke hadapan pada musim ini.

 

“Kami gembira apabila membawa masuk pemain baru yang mempunyai cita-cita tinggi untuk pasukan,” jelasnya.

 

Tambah bekas Pengurus Reading dan Watford itu lagi, pasukannya pada kali ini akan berusaha untuk menjadi lebih kompetitif untuk bersaing pada musim depan.

 

Ujarnya, objektif utama ketika pramusim adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan para pemain dan bukannya mengenai masa depan mereka.

 

“Matlamat utama kami adalah untuk meningkatkan kecergasan, dinamik dan juga persefahaman dalam pasukan.

 

“Di samping itu saya juga terharu dan berpuas hati dengan sokongan berterusan para peminat di Malaysia.

 

“Saya terkejut betapa fanatiknya sokongan para peminat di sini dan ia adalah sesuatu yang menakjubkan kerana Liverpool adalah nama ikonik di seluruh dunia dan ia merupakan sebab utama kami datang ke sini,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.