Bayi 22 Bulan Mati Dipercayai Didera

ALOR GAJAH – Seorang bayi perempuan ber­usia 22 bulan yang dipercayai mangsa dera menemui ajal selepas ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya di Taman Padi Indah, Pulau Sebang di sini, kelmarin.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, bayi berkenaan dijumpai tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang oleh ibunya yang berusia 26 tahun sebelum dibawa ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan untuk bantuan kecemasan.

 

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Razali Sabar berkata, mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik sahaja tiba di hospital dan bedah siasat yang dijalankan ke atasnya mendapati terdapat beberapa kesan kece­deraan serta keretakan di bahagian tempurung kepala mangsa.

 

“Hasil bedah siasat yang dijalankan terdapat dua keretakan di bahagian belakang tempurung kepala bayi itu masing-masing berukuran lapan dan 12 sentimeter, dua kesan lebam baharu di dahi dan hidung selain kesan lebam lama di tangan serta kaki.

 

“Mayat bayi berkenaan kemudian di hantar ke Hospital Seremban, Negeri Sembilan untuk mendapatkan punca sebenar kematian dan hasilnya mendapati punca keretakan dipercayai akibat daripada ter­kena objek tumpul,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, di sini, hari ini.

 

Menurut Razali, bayi berkenaan tinggal bersama ibu bapanya manakala dua lagi kakaknya ber­usia lima dan enam tahun dijaga oleh neneknya di rumah berasingan di Alor Gajah.

 

Kata beliau, ibu bapa mangsa kemudian ditahan petang kelmarin dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk direman bagi membantu siasatan.

 

Tambahnya, tangkapan terhadap ibu bapa bayi tersebut bertujuan membantu siasatan kerana kematian mangsa adalah disebabkan perbuatan jenayah.

 

“Pasangan suami isteri itu direman seminggu bermula hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut berkenaan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.