Azmin Perlu Segera Pilih Bersama DAP Atau PAS

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali perlu membuat keputusan segera sama ada mahu bersama DAP atau Pas demi kelangsungan PKR dalam mentadbir negeri itu.

 

Bekas Menteri Besar Sela­ngor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu perlu dibuat memandangkan pakatan pembangkang tidak lagi wujud ekoran kedua-dua parti tersebut telah memutuskan kerjasama antara satu sama lain.

 

“Saya sebenarnya tidak ingin mencampuri pergolakan politik antara DAP, Pas dan PKR. Terpulang kepada mereka untuk membuat sebarang keputusan.

 

“Namun demi kepentingan rakyat Selangor, ada baiknya perkara itu (kerjasama DAP atau Pas) diselesaikan dengan cepat dan bertanggungjawab. Ja­ngan biarkan negeri dalam keadaan tak menentu,” katanya kepada pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen, di sini hari ini.

 

Mengulas karier politiknya, Abdul Khalid berkata, beliau akan terus melakukan kerja sebagai wakil rakyat bebas sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

 

“Dalam tempoh itu, saya juga akan memberi keutamaan kepada pentadbiran negeri Selangor serta pergolakan politik negara,” kata beliau yang menolak untuk me­nyertai parti baharu yang akan ditubuhkan iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.