Warga Emas Dibunuh Sebelum Samun

KOTA TINGGI – Hasrat seorang anak pulang beraya di kampung halaman di Felda Lok Heng Barat di sini, bertukar kepada majlis pengebumian ibunya.

Warga emas tersebut ditemui anaknya dalam keadaan tidak bernyawa, malam kelmarin, dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di kediaman mangsa.

Jariah Abu Bakar, 62, ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah oleh anaknya yang kebetulan baru balik dari Kuala Lumpur untuk bercuti raya bersamanya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa seorang ibu tunggal tiga anak tinggal bersendirian di rumah tersebut.

Menurutnya, polis berjaya menahan lima suspek termasuklah sepasang suami isteri di beberapa lokasi berhampiran dalam tempoh tidak sampai 24 jam, dan suspek utama dalam kes ini adalah remaja berusia 15 tahun dan tidak bersekolah.

“Polis turut menemui barang mangsa yang dicuri iaitu dua telefon bimbit dan seutas rantai emas. Siasatan awal mendapati, suspek utama cuba melakukan pecah rumah dan telah masuk ke kediaman tersebut melalui bumbung.

“Supek juga bertindak memecahkan syiling rumah tersebut dan mangsa yang menyedari kehadiran suspek telah menjerit, menyebabkan suspek memukul mangsa dengan sebatang kayu di bahagian kepala sehingga menyebabkan mangsa maut,” katanya.

Rahmat berkata, semakan rekod jenayah ke atas semua suspek mendapati semuanya tiada rekod kesalahan lampau.

Semua suspek berusia lingkungan 15 hingga 28 tahun itu, direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, jiran mangsa, Jaliah Md Salleh, 58, berkata, mangsa yang bekerja membuat kuih raya dengannya sejak awal Ramadan lalu, ada memberitahu rumahnya dimasuki orang melalui tingkap bahagian belakang, Khamis lalu.

Namun, ketika kejadian itu mangsa kebetulan tiada dirumah kerana tidur di rumah anaknya.

“Ketika arwah datang kerja pada pagi Jumaat, dia bercerita tentang rumahnya yang dimasuki orang. Malah, kejadian tersebut bukanlah kali pertama berlaku kerana beberapa tahun lalu rumahnya juga pernah dimasuki pencuri.

“Pada hari sama, arwah juga ada memberitahu dia hendak buat kuih raya di rumahnya pada Sabtu. Sejak itu, saya tidak melihat arwah keluar rumah dan menyangka dia sibuk menyiapkan kuih raya,” katanya kepada Sinar Harian di kediaman mangsa di Felda Lok Heng Barat, dekat sini.

Dalam pada itu, Adun Sedili, Rasman Ithnain, menyeru agar masyarakat dapat mengambil langkah berwaspada terutama pada musim perayaan ini berikutan kejadian yang berlaku itu.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/warga-emas-dibunuh-sebelum-samun-1.302355

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.