Uqasha Senrose Tidak Mencari Cinta

CERITA cinta antara Uqasha Senrose dan Pekin Ibrahim akhirnya ditamatkan dengan kesudahan keputusan putus tunang. Masalah yang berlaku dalam percintaan mereka yang sering menjadi tanda tanya sudah ada jawapannya. Hubungan mereka sudah berakhir.

Biarlah, itu cerita lama. Uqasha juga sudah mula membawa haluan dirinya. Katanya, fokus sekarang adalah kepada kerjaya bukan lagi kepada cinta.

“Cinta bukan lagi menjadi fokus utama saya buat waktu ini. Keutamaan saya sekarang adalah pada kerjaya, keluarga, dan teman-teman.

“Sebab itu, kalau boleh, jangan kaitkan saya dengan Pekin lagi. Bukanlah nak kata saya rimas apabila orang bertanya-tanya tetapi kami sudah tiada apa-apa.

“Kami sudah membawa haluan masing-masing. Bagi saya, tiada apa yang nak diperkatakan lagi. Saya pun tak mahu buka aib saya mahupun dia. Biarlah yang sudah itu sudah.

“Saya juga seboleh-bolehnya tidak mahu bermusuh atau berdendam hanya sekadar dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama pelakon drama, Dan Hati Pun Berkata, baru-baru ini.

Sementara itu, Uqasha turut memberitahu hubungannya dengan ibu kepada Pekin juga masih baik.

“Walaupun sudah lama tidak berhubung dengan Pekin tapi saya masih baik dengan ibunya.Kami ada juga berhubung tetapi tidaklah terlalu kerap,” tuturnya.

Tenang gadis berusia 22 tahun ini menjawab soalan, dia juga sempat memberitahu, dia tidak bersedia untuk bercinta lagi, malah tidak mahu mencari.

“Saya tak mahu cari. Saya nak rehatkan hati dulu dan tak mahu fikir hal komitmen dengan mana-mana lelaki. Biarlah dulu. Tapi kalau cinta datang, saya tak menolak. Namun untuk saya mencari, tidaklah.

“Senang untuk saya menyerahkan urusan hati dan perasaan ini kepada ketentuan-Nya,” jelas Uqasha.

Ditanya sama ada dia didekati mana-mana lelaki buat masa ini, Uqasha dengan pantas menjawab.

“Eh, mana ada. Tak ada pun lagi orang nak dekati saya. Masa saya banyak dengan kerja. Kalau hendak kata orang ada mengurat pun, memang tidak ada,” katanya dalam ketawa.

Hentikan desakan

Tidak habis dengan kisah putus tunang itu, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini dihimpit sekali lagi dengan kisah cinta. Ada yang mengaitkan dirinya dengan pelakon kacak Syafiq Kyle pula.

Namun, Uqasha lebih selesa dengan memberitahu hubungannya dengan Syafiq hanyalah sekadar teman baik. Tidak lebih daripada itu.

“Sudah cakap, kami tidak ada apa-apa. Saya boleh kata dia antara kawan baik saya. Nak kata rapat, tidaklah rapat sangat. Kami mula kenal apabila berlakon bersama-sama dalam drama siri Tanah Kubur.

“Cukup-cukuplah kaitkan saya dengan dia. Ada lagi kawan lain yang berkawan dengan saya, kenapa pula tidak kaitkan nama mereka?

“Tapi, siapalah saya ini untuk menutup mulut orang untuk terus bercerita. Kalau boleh, hentikan desakan yang kami ada apa-apa,” kata pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen ini.

Sejujurnya menurut Uqasha, apabila ditanya mengenai hubungannya dengan lelaki baharu ini, dia memang tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan segalanya supaya mudah difahami orang.

“Saya dengan dia bukannya bercinta, sudah hendak terang kepada orang. Saya agak pelik kenapa orang boleh anggap kami pasangan kekasih pula. Tapi, saya terima semua itu sekadar usikan sahaja dan tidak pernah mengambil hati,” katanya.

-Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.